Orang ramai perlu lapor aktiviti berkaitan bom ikan

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

TAPAH, 24 Jan – Orang ramai perlu melaporkan kepada pihak berkaitan sekiranya terdapat kegiatan menangkap ikan di sungai melalui kaedah terlarang termasuk secara bom.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata pihaknya tidak mahu kaedah seperti meracun, menggunakan bom atau renjatan elektrik untuk memperoleh ikan berleluasa kerana akan merosakkan ekosistem dan sumber perikanan sungai.

“Jabatan Perikanan Malaysia juga mempunyai pasukan pemantau yang akan membuat rondaan secara berkala dari semasa ke semasa dan sekurang-kurangnya kehadiran pasukan pemantau ini akan menakutkan mereka (individu menangkap ikan menggunakan kaedah terlarang),” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melepaskan kira-kira 10,000 benih ikan lampam dan terbul ke Perairan Umum Sungai Batang Padang di Kampung Dusun Muda di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata Jabatan Perikanan Perak akan melepaskan lima juta benih pelbagai spesies ikan air tawar secara berperingkat di beberapa sungai di negeri ini.

Beliau berkata ia sebahagian langkah kerajaan dalam menambah populasi ikan air tawar yang semakin berkurangan memandangkan ia merupakan sumber rezeki kepada nelayan darat.

“Oleh sebab beberapa keadaan yang tidak dapat dielakkan, populasi ikan air tawar semakin berkurangan terutama kehadiran ikan-ikan yang tidak diingini berada di dalam sungai.

“Jadi, pelepasan benih ikan ini dapat menambah populasi ikan air tawar,” katanya.

Menurut Ahmad, setiap tahun lebih kurang dua juta benih ikan terdiri daripada pelbagai spesis bernilai hampir RM500,000 dilepaskan di negeri ini dengan sebahagian benih itu adalah keluaran Jabatan Perikanan Malaysia dan melalui peruntukan kewangan kerajaan negeri dan Persekutuan. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

859
Kongsi :
Previous post Port ‘Mat Gian’ diserbu, 73 ditahan
Next post Anak saudara dan bekas pekerja R.Sivarasa didakwa atas tuduhan rasuah
Ubah saiz-+=