OSHWEEK 2023 disambut sepanjang Julai dan Ogos

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

PENGKALAN BATU 13 Julai – Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Tahun 2023 (OSHWEEK) akan disambut sepanjang Julai dan Ogos tahun ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri, Supian Alias berkata, pihaknya merancang pelbagai program sepanjang dua bulan berlangsungnya OSHWEEK 2023.

Katanya, secara khusus OSHWEEK 2023 berlangsung dari 10 hingga 16 Julai, namun dilanjutkan bertujuan memberi kesedaran, sekali gus mencapai sasaran Kerajaan Negeri mengurangkan kemalangan di tempat kerja bagi 2023.

“Sambutan ini bertujuan bagi menghebahkan maklumat terkini berkaitan isu-isu keselamatan dan kesihatan pekerja, selain mempromosi pembentukan budaya kerja selamat serta sihat.

“Antara program dirangka adalah ceramah keselamatan dan kesihatan pekerjaan dijadualkan berlangsung di beberapa lokasi terpilih.

“Program lain seperti Program OSH Day di Politeknik Melaka, Pelancaran Op Tapak Pembinaan Menara Persekutuan, Latihan Sistem Keselamatan Bangunan dan pelbagai lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia Tahun 2023 Peringkat Negeri Melaka di sebuah kilang, di sini, semalam.

Majlis dirasmikan oleh Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem.

Supian berkata, lebih 100 peserta dalam kalangan majikan, pekerja dan pengamal industri beroperasi sekitar Batu Berendam, hadir pada majlis perasmian itu.

Menurutnya, sebanyak lima kertas kerja dibentangkan pada program tersebut bagi meningkatkan pemahaman berkaitan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1603
Kongsi :
Previous post Wanita tikam diri sendiri selepas kelar leher anak
Next post Atlet karate terbaik Asia berhimpun di Melaka, 21-23 Julai ini
Ubah saiz-+=