‘P. Radhi Tribute To P. Ramlee’ gegar Panggung Bangsawan, 22 Jun depan

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

BANDARAYA MELAKA 24 Mei – Sebuah konsert muzikal bertajuk P. Radhi Tribute To P. Ramlee akan menggegarkan Panggung Bangsawan pada 22 Jun depan.

Konsert berkonsepkan parodi ‘broadway’ dan ‘cabaret’ yang diterbitkan Privilege Integrated Technology Sdn Bhd itu bakal membawa pengunjung kembali ke era 40-an hingga 70-an seterusnya dapat melepaskan ‘rindu’ menyaksikan karya seniman agung tanah air itu.

Persembahan muzikal yang bermula pada jam 8.30 malam itu akan diteraju P. Radhi iaitu anak jati Negeri Melaka yang pernah menjuarai Bintang P. Ramlee Peringkat Kebangsaan pada tahun 2016.

Menurut Pengarah dan penerbit konsert muzikal terbabit, Mohd Saufi Jaafar, persembahan pentas itu akan digarap berdasarkan perkembangan plot perjalanan seniman yang mewarnai arena perfileman negara sejak 1948.

Katanya, persembahan akan disulamkan dengan parodi daripada petikan serta adegan-adegan filem Allahyarham P. Ramlee yang terkenal dan disifatkan malar segar.

“Muzik adalah nadi filem. Tanpa muzik, filem jadi keras dan kaku. Bukan sahaja muzik yang mempunyai seni kata, malah muzik latar memainkan peranan penting dalam filem.

“Itu kata-kata tinggalan P. Ramlee yang memberi gambaran bahawa alunan muzik mampu menjadi ‘penghidup’ karya seni di mana konsert berdurasi 108 minit tempoh persembahan konsert muzikal ini bakal mengasyikkan penonton.

“Pengunjung akan disajikan persembahan mengikut plot dengan 27 ‘scene’ merentasi empat era bersulamkan 20 lagu yang akan dibawa enam artis tempatan menerusi perkembangan enam sketsa parodi,” katanya pada sidang media P.Radhi Tribute To P.Ramlee, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Mohd Saufi berkata, konsert muzikal itu juga bertujuan mengangkat kembali industri seni dan budaya, selain menghormati legasi yang ditinggalkan Allahyarham P. Ramlee.

Tambahnya, penganjuran konsert muzikal itu bakal menarik peminat filem P.Ramlee dari setiap pelosok negara termasuk dari Singapura dan Brunei.

“Konsert muzikal yang bakal dipentaskan dengan penuh kreatif ini bakal menarik lebih ramai pelancong bagi merancakkan lagi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Kita juga menyahut seruan Kerajaan Negeri menerusi Program Melaka Nightlife yang akan bermula Jun depan,” katanya.

Tiket P. Radhi Tribute To P. Ramlee – Platinum akan dijual dengan harga RM149 dan RM199 (Privilege beserta cenderahati) yang boleh didapati di platform TICKET2U.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

166
Kongsi :
Previous post JKKN Melaka sedia 21 program utama semarak TMM2024
Next post Media ‘duta’ promosi seni, budaya Melaka
Ubah saiz-+=