DUN Asahan: Pak Ali bersyukur terima rumah baharu

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

ASAHAN 8 Oktober – Pasangan warga emas yang hilang tempat berteduh selepas rumah mereka hangus dijilat api Mac lalu, bersyukur apabila menerima kunci kediaman baharu di Batu 21 3/4, Kampung Bukit Senggeh, di sini hari ini.

Ali Md Som, 84, berkata, ketika kebakaran dipercayai akibat litar pintas itu dia cuma sempat menyelamatkan al-Quran manakala keseluruhan rumah dan kelengkapan lain hangus terbakar.

“Saya dan isteri Hamidah Ithnin, 79, tinggal sehelai sepinggang, mujur dalam al-Quran yang diselamatkan ada sedikit wang yang saya simpan.

“Alhamdulillah, bila dimaklumkan akan menerima rumah percuma, perasaan bimbang dan resah hilang berganti kegembiraan serta kesyukuran,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunci kediaman baharunya yang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Fairul Nizam Roslan.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Mohd Salleh Hamidom.

Rumah berharga RM60,000 itu dibina menerusi konsep tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kumpulan Melaka Berhad, Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB).

Katanya, sementera menunggu rumah baharu itu siap dibina dia dan Hamidah menumpang buat sementara waktu di rumah anaknya.

Dia kelihatan amat teruja dan gembira selepas melangkah masuk ke dalam kediaman berkenaan yang dilengkapi tiga bilik tidur, satu bilik air dan ruang dapur yang selesa.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1647
Kongsi :
Previous post Pupuk budaya sukan kepada warga Melaka Tengah
Next post Periksa pendawaian elektrik kediaman berusia lebih 20 tahun
Ubah saiz-+=