Paluan kompang kian sepi?

Masa Membaca:4 Minit, 36 Saat

TANPA gema paluan kompang penganjuran majlis tradisi khususnya kenduri perkahwinan dianggap tidak lengkap atau kurang meriah.

Namun, peranan kompang perlu dilihat daripada susut pandang lebih luas, bukan sekadar memeriahkan masih diadakan sebaliknya sebagai khazanah warisan negara yang perlu terus dipulihara.

Meskipun industri muzik melalui transformasi yang amat pantas, namun masih ramai lagi yang mencintai seni memalu kompang dan berjuang untuk mengekalkannya.

USAHA ‘HIDUPKAN’ KOMPANG

Penasihat Persatuan Kompang Hadra Ezhar Millenium Kampung Lanjut Manis, Krubong, Nuredeen Nordin, 45, berkata dia mempelajari dan mengkaji seni kompang sejak usia remaja dan berasa amat bangga kerana dapat berkongsi kemahiran dimiliki bersama anak muda.

Lebih membanggakan beliau apabila, ada dalam kalangan anak muridnya yang sudah mahir membuka persatuan kompang di tempat lain, sekali gus mengembangkan lagi ilmu memalu alat muzik tradisional itu.

“Alhamdulillah, bila mengajar seni asas kompang dan ilmu itu dapat disebarkan, insya-Allah seni warisan ini akan terus segar, cuma diharapkan ilmu itu dapat diamalkan.

“Sehingga kini, ada 15 ahli persatuan kompang berusia dari 11 hingga 52 tahun termasuk dua perempuan. Pada kebiasaan kami akan berlatih seminggu tiga kali pada waktu malam.

“Mengumpul dan himpunkan anak-anak muda di kampung ini menyertai persatuan antara usaha untuk terus menghidupkan seni muzik kompang yang semakin dipinggirkan, daripada melihat mereka membuat perkara tidak berfaedah, lebih baik mereka sertai persatuan ini,” katanya.

4fff
ISMAIL bersama jidor yang menjadi ‘ibu rentak’ bagi persembahan kompang jidor.

MAJLIS TAMPAK ‘MEWAH’

Menurut Nuredeen atau lebih mesra dipanggil Idin, paluan kompang pada suatu masa dahulu wajib diperdengarkan dalam mana-mana majlis kebesaran di kampung, khususnya majlis beradat Melayu.

Katanya, orang dahulu menganggap sesuatu majlis itu ‘mewah’ jika ada persatuan kompang yang dipanggil, apatah lagi jika untuk menghiburkan ‘Raja Sehari’.

Menurutnya, sebagai penasihat dan juga individu bertanggungjawab untuk mengubah lagu-lagu akan dibawakan mengikut majlis, dia sering berlatih sendirian memalu kompang mencari rentak pada waktu malam selepas pulang kerja.

“Paluan kompang ini merupakan tradisi Melayu, memukul kompang sambil menyanyi ataupun bersyair dalam versi Arab ataupun bahasa Melayu dan kini diinovasi sebagai paluan moden, paluan tersebut diselitkan dengan gerakan ataupun tarian.

“Bermain kompang ini tidak akan membuat kita kaya, namun ilmu bermain kompang ini tidak semua orang miliki dan saya sering memberi pesanan sama seperti pesanan yang saya terima dahulu, bermain kompang ini perlu ikhlas.

“Pada bayaran pula, kita mengenakan caj penetapan mengikut kawasan iaitu RM220 sekali kompang, dan jika di luar kawasan Krubong, kita akan bincang dengan tuan rumah, sekali dengan pengangkutan kita kenakan sehingga RM 280,” katanya.

RENTAK KOMPANG JIDOR

Menurut Idin, persatuannya juga akan menggunakan jidor sebagai ‘ibu rentak’ sebelum kompang dipalu yang akan digunakan oleh ketua kumpulan mengetuai kompang mereka.

Jelasnya, jidor seperti gendang, namun saiznya kecil dan dikendong ketika menggunakannya.

“Kompang ini merupakan alat muzik yang dikategorikan sama seperti gendang, namun kompang hanya menggunakan tangan untuk memalu manakala gendang mempunyai alat pemalu.

“Bunyi kompang ini diperoleh dengan memalu atau memukul, hasil tepukan tidak selalu sama, terkadang bunyinya besar, ada juga bunyi kecil, ia bergantung kepada posisi telapak tangan ketika memalu.

“Manakala, jidor akan mengeluarkan bunyi seakan gendang atau dipanggil ‘drum’ Melayu ini menghasilkan bunyi kuat, sekali gus mengetuai paluan kompang, kerana itu ada yang memanggil kompang jidor kerana ia digabungkan dalam satu kumpulan,” katanya.

3fff
KOMPANG dan jidor yang menghidupkan suasana majlis perkahwinan.

JENIS KOMPANG

Sementara itu ketua kumpulan kompang, Ismail Aman, 52, berkongsi pengetahuan mengenai perincian kompang yang digunakan.

“Kompang biasanya diperbuat daripada kulit kambing betina, namun mutakhir ini ada juga menggunakan kulit lembu, kerbau dan paling baru getah sintetik.

“Bahagian belakang kompang ada gelung plastik tebal diselit antara bingkai dan kulit penutup bertujuan untuk menala bunyi. Pada waktu dahulu, rotan digunakan, kompang ini saiznya berbeza-beza bermula daripada 10 inci, 12 inci, 15 ini dan 16 inci.

“Kompang pada zaman dahulu biasanya berukuran enam belas inci ukur lilit dan ditutup dengan kepingan kulit pada sebelah permukaan. Ia mempunyai bukaan cetek dan dimainkan dengan memegang sebelah tangan sementara dipalu dengan sebelah tangan yang lain.

“Manakala jidor pula diperbuat dari kulit lembu matang dan kebiasaan dibuat dengan kepanjangan dua kaki, berdiameter 21 dan besarnya 18 inci.

“Untuk harga, kompang bermula pada harga RM85 dan keatas, manakala jidor bermula RM500.

“Kesemua kompang dan jidor ini kami tempah di Parit Jawa, Johor kerana di Melaka sudah tiada orang yang membuatnya lagi,” katanya.

Jelas Ismail, secara kebiasaan, untuk seseorang individu mahir menggunakan kompang memakan masa seminggu manakala jidor pula sehingga tiga bulan.

Menurutnya, pada zaman kini pelbagai kompang dihasilkan tanpa menggunakan kulit kambing, ada yang menggunakan material kertas X-ray, namun paluannya berbeza.

2fff
KOMPANG yang diperbuat daripada kulit kambing betina, namun sejak akhir-akhir ini, ada pihak yang menginovasi pembuatan kompang menggunakan kulit kerbau, kertas x-ray dan getah sintetik.

PELAPIS KOMPANG

Dhea Aleeya Nuredeen, 12, menjadi antara pelapis termuda dalam persatuan kompang tersebut.

Meskipun dia adalah perempuan, namun minatnya terhadap seni kompang itu mendalam dan ingin belajar dengan lebih lanjut seni warisan itu

“Ibu tidak melarang, bahkan menggalakkan saya aktif bersama persatuan ini selain mendalami ilmu persilatan. Bagi saya silat dan kompang adalah dua benda yang melambangkan Melayu.

“Saya harap dapat membawa seni kompang ini ke peringkat lebih tinggi, kerana sehingga kini apa sahaja pertandingan melibatkan kebudayaan dalam dan luar sekolah saya akan ambil bahagian,” katanya yang pernah menjadi juara pertandingan kebudayaan di sekolah.

Jelas Dhea Aleeya dia mengambil masa tiga bulan untuk mahir menggunakan kompang dan akan mengikuti persatuan jika dipanggil untuk membuat persembahan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4066
Kongsi :
Previous post Mangsa banjir di Melaka berkurangan
Next post Melaka sedia anjur festival, pertandingan kompang
Ubah saiz-+=