Sorting by

×

PANGLIMA AWANG IKON PELAYARAN MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 24 Jun – Kehebatan Panglima Awang (Enrique de Malaca) sebagai individu pertama dari rantau ini yang mengelilingi dunia pada abad ke-16 dibuktikan dan disahkan menerusi penemuan pelbagai catatan, surat serta dokumen bersejarah kini tersimpan di Belanda.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penemuan itu adalah hasil lawatan beliau bersama delegasi Kerajaan Negeri Melaka ke Belanda, hari ini.

Katanya, penemuan itu bukan sekadar mengangkat satu nama, tetapi memberi makna baharu kepada sejarah Melaka dan menghidupkan kembali satu naratif penting yang mungkin pernah tersisih atau tersasar.

“Sekarang masanya untuk meluruskan semula sejarah, menghidupkan warisan kegemilangan dan memperkenalkan Panglima Awang iaitu anak jati Melaka sebagai ikon pelayaran, simbol keberanian, kebijaksanaan selain identiti maritim Melaka yang sebenar.

“Nama beliau direkodkan sebagai krew dan jurubahasa penting dalam pelayaran Ferdinand Magellan (dianggarkan sekitar tahun 1495–1500),” kata Ketua Menteri menerusi hantaran di Facebook Rasmi beliau.

Ab Rauf berkata, bagi mengangkat nilai dan naratif ini, Kerajaan Negeri, melalui Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), akan memeterai nota kerjasama dengan Jabatan Muzium Malaysia, Arkib Negara Malaysia dan Perpustakaan Negara Malaysia.

Menurut Ketua Menteri kerjasama itu bertujuan mendapatkan akses kepada dokumen-dokumen berkaitan dari pelbagai negara, khususnya yang memaparkan kisah Panglima Awang dan kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka sebelum abad ke-15.

“Selain itu, melalui lawatan ini juga, Kerajaan Negeri melalui PERZIM juga bercadang membangunkan sebuah platform digital inventori dokumen sejarah Melaka bersama agensi-agensi persekutuan, bagi menghimpun bahan-bahan berharga ini agar dapat diakses dan dimanfaatkan oleh semua, khususnya generasi akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

249
Kongsi :
Previous post GANJARAN UNTUK WARGA UITM JASIN AMAL KITAR SEMULA
Next post MELAKA BAKAL SELARAS LESEN VAPE