PANTAI TANJUNG BIDARA KEMBALI ‘BERNYAWA’

Masa Membaca:3 Minit, 29 Saat

TANJUNG BIDARA 16 September – Pantai peranginan ini yang dahulunya sepi, kini seolah-olah ‘hidup semula’ apabila dibanjiri puluhan ribu pengunjung dalam hanya tiga hari.

Suasana itu dapat digambarkan di Pantai Tanjung Bidara, di sini, apabila ia menjadi tapak penganjuran Pesta Pantai 2024.

Img 20240916 101707 587
AB Rauf bermesra dengan pengunjung cilik pada pesta berkenaan. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Pujian wajar diberikan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara kerana mengilhamkan penganjuran pesta berkenaan sehingga ia berjaya menaikkan kembali nama pantai peranginan itu.

Dianggarkan kira-kira 30 tahun dahulu, Pantai Tanjung Bidara pernah menjadi lokasi paling popular dikunjungi orang ramai untuk beriadah dan bersantai bersama keluarga setiap kali hujung minggu.

Namun, seiring dengan masa, selain kemajuan di beberapa lokasi lain, pantai tersebut mulai suram, semakin dilupakan dan jarang dikunjungi pengunjung mahupun pelancong.

Atas sebab itu, Ketua Menteri mengambil pendekatan untuk mengembalikan semula kegemilangannya menerusi penganjuran acara pelancongan selain membangunkan beberapa tarikan baharu.

Img 20240916 101513 668
ACARA panjat tiang licin menjadi antara tarikan Pesta Pantai Tanjung Bidara 2024. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Antara yang sedang dalam perancangan adalah mewujudkan tapak karavan dan litar kereta kawalan jauh.

Usaha tersebut mula menampakkan hasil apabila nama Tanjung Bidara kini kembali meniti di bibir orang ramai, termasuk pelancong dari luar Melaka.

Menurut Ab Rauf, usaha menyerlahkan kembali Tanjung Bidara akan menjadi antara misi utamanya bermula dengan menjadikan Pesta Pantai Tanjung Bidara sebagai acara tahunan pada pertengahan bulan September setiap tahun.

Selain itu, beliau juga komited mahu menaik taraf kawasan pesisir pantai berkenaan, termasuk menyediakan ruang perniagaan yang lebih moden dan menarik bagi memastikan ia terus menjadi destinasi tumpuan pengunjung pada tahun-tahun mendatang.

Img 20240916 101418 825
PARAMEDIK Komuniti Tanjung Bidara yang dilancarkan Ab Rauf. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Malah, untuk melengkapkan lagi kesediaan dalam menggamit pelancong ke pantai berkenaan, pasukan Paramedik Komuniti Tanjung Bidara turut dilancarkan Ab Rauf untuk memberi bantuan awal sekiranya berlaku kes-kes kecemasan.

Semua itu menunjukkan beliau mempunyai visi dan misi yang jelas dalam setiap agenda pembangunan yang dirancang di Negeri Melaka, termasuk di kampung kelahirannya, Tanjung Bidara.

Niat beliau hanya satu, iaitu mahu memastikan rakyat di negeri ini dapat merasai nikmat dan limpahan daripada setiap kemajuan masa hadapan yang dirancang.

Berbalik kepada penganjuran Pesta Pantai Tanjung Bidara 2024, ia terbukti memberi ‘nyawa’ baharu kepada pantai peranginan itu menerusi penganjuran pelbagai acara dan aktiviti menarik kepada pengunjung.

Img 20240916 101152 954
GELAGAT keluarga yang hadir ke Pesta Pantai Tanjung Bidara 2024. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Antara yang mencuri perhatian ramai adalah pameran aset milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti kereta perisai dan meriam, selain pengunjung, terutamanya kanak-kanak berpeluang menjadi ‘anggota bomba sehari’ di reruai dan pameran disediakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Tidak cukup dengan itu, orang ramai turut dihiburkan menerusi konsert yang menampilkan artis popular tanah air seperti Ziana Zain dan Zamani, selain pelbagai persembahan, demonstrasi serta hadiah menarik disediakan sepanjang tiga hari pesta itu berlangsung.

Anak muda dan golongan belia juga tidak dilupakan apabila pesta berkenaan turut diisi dengan pelbagai acara sukan menarik seperti ‘wall climbing’, ‘fun ride’ dan ‘fun walk’, selain acara sukan rakyat seperti tangkap itik, tarik tali, panjat tiang licin dan bola sepak pantai.

Bukan hanya bermotifkan hiburan semata-mata, pesta pantai itu turut dihiasi dengan program kerohanian seperti Tanjung Bidara Berselawat dan ceramah agama sempena Maulidur Rasul.

Img 20240916 100937 100
KENDURI Rakyat menjadi lambang kesepakatan warga Tanjung Bidara. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Kenduri Rakyat hasil gotong-royong pemimpin dan masyarakat setempat juga mewarnai pesta itu pada hari terakhir, sekali gus melambangkan semangat perpaduan dan kesepakatan rakyat Melaka.

Malah, impak daripada pesta pantai itu turut dirasai peniaga-peniaga kecil dan pengusaha chalet serta inap desa di sekitar Tanjung Bidara apabila kebanjiran pengunjung membawa limpahan rezeki kepada mereka.

Benarlah bak kata-kata keramat yang sering dilaungkan Ketua Menteri:

“Tak ada negeri lain, hanya satu sahaja, mana lagi, Melaka ler…”

Semoga berjumpa lagi di Pesta Pantai Tanjung Bidara tahun depan!

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1017
Kongsi :
Previous post MELAKA TERUS SUBURKAN SYIAR ISLAM, SANTUNI MASYARAKAT
Next post LAYANG-LAYANG BENTUK ‘KUDA PUTIH’ CURI PERHATIAN
Ubah saiz-+=