MELAKA TERUS SUBURKAN SYIAR ISLAM, SANTUNI MASYARAKAT

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

DUYONG 16 September – Sambutan Maulidur Rasul menjadi majlis rasmi Kerajaan Negeri bagi mengangkat syiar Islam sekali gus menjadi wadah terbaik dalam menyantuni masyarakat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sambutan itu dimulakan dengan Karnival Semarak Cinta Rasul yang diadakan selama lima hari bermula 13 hingga 17 September ini di Dataran Pusat Islam Melaka, Bukit Palah.

Tambah beliau, ia kemudiannya diikuti dengan Tanjung Bidara Berselawat bersempena Pesta Pantai Tanjung Bidara 2024 yang turut menampilkan kumpulan nasyid popular, Raihan dan penceramah terkenal.

“Alhamdulillah, kehadiran amat menggalakkan sehingga bergema selawat memuji nama Nabi Muhammad SAW di Tanjung Bidara dan seluruh Negeri Melaka.

“Selain itu, pelbagai aktiviti keilmuan disusun antaranya ceramah agama perdana, forum perdana, diskusi agama termasuklah program berbentuk pertandingan turut dianjurkan seperti Pertandingan Grand Qasidah, Pertandingan Muallaf Kreatif dan Pertandingan Ihtifal Cinta Rasul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan dan Perarakan Sempena Sambutan Maulidur Rasul 1446 Hijrah Peringkat Negeri Melaka 2024 ‘Al-Falah Pemacu Malaysia MADANI’ di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit, di sini, hari ini.

Lafaz perasmian sambutan itu telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf Kerajaan Negeri komited menyuburkan syiar Islam di negeri ini demi memastikan keamanan dan kestabilan negeri terus menjadi maqasid utama agar kebajikan rakyat sentiasa diberi keutamaan.

“Saya percaya usaha ini akan menjadi medium penyebaran dakwah terhadap masyarakat bukan Islam di Negeri Melaka sekali gus memperkukuh ikatan perpaduan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

107
Kongsi :
Previous post KESEPADUAN RAKYAT BINA NEGARA AMAN, MAKMUR – KM
Next post PANTAI TANJUNG BIDARA KEMBALI ‘BERNYAWA’
Ubah saiz-+=