Paramedik Komuniti mampu selamatkan nyawa

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

BANDA HILIR 23 Mac – Menempuh detik cemas apabila melihat anak sendiri yang menjadi mangsa kemalangan terbaring di atas jalan tanpa dapat memberikan sebarang bantuan mendorong wanita ini untuk menjadi sukarelawan Paramedik Komuniti.

Khairiah Khalid, 49, berasal dari Kampung Merlimau Tengah berkata, dalam kejadian lima tahun lalu, anaknya terbaring selama 30 minit sebelum menerima bantuan pertama daripada pegawai perubatan yang tiba di lokasi bersama ambulans.

Justeru, apabila Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mengilhamkan inisiatif berkenaan, dia tanpa berfikir panjang segera memberikan nama dan mula berkhidmat sebagai sukarelawan sejak hujung tahun lalu.

“Dalam kalangan sukarelawan mungkin saya agak berusia, namun inilah peluang terbaik untuk saya berkhidmat membantu masyarakat yang memerlukan.

“Inisiatif cetusan Ketua Menteri ini amat bagus, jadi saya melihat dengan adanya inisiatif ini, ia dapat membantu saya dan rakyat Negeri Melaka yang lain belajar ilmu asas untuk menyelamatkan nyawa, terutama apabila berlaku kes-kes kecemasan yang tidak dijangka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Khairiah yang juga seorang pembantu taska berkata, dia kini berkhidmat sebagai Paramedik Komuniti di kampungnya pada setiap Isnin hingga Jumaat, manakala pada hujung minggu, dia akan menjalankan tugas di kawasan pelancongan di Banda Hilir.

“Walaupun diberikan elaun sukarelawan, namun itu bukan keutamaan kerana bagi saya misi utama ialah menyelamatkan nyawa.

“Alhamdulillah daripada kosong, kini saya sudah ada ilmu mengenai bantuan kecemasan jantung dan pernafasan atau cardiopulmonary resuscitation (CPR) dengan betul. Saya juga mempelajari cara menggunakan alat ‘Automated External Defibrillator’ (AED) sekiranya berlaku kes-kes serangan jantung,” katanya.

Sementara itu, seorang anak muda, Mohd Hariz Izwan Zukkhairi, 21, berbangga apabila dapat berkhidmat memberikan bantuan kecemasan apabila ada pengunjung tiba-tiba rebah di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir, 20 Februari lalu.

Anak jati Pokok Mangga itu berkata, bantuan pantas seperti itu mungkin tidak dapat diberikan sekiranya tiada inisiatif Paramedik Komuniti diperkenalkan Kerajaan Negeri.

“Bagi saya, inisiatif cetusan Ketua Menteri ini amat baik kerana Melaka terkenal sebagai negeri pelancongan. Kita tidak dapat jangka bila akan berlaku kes-kes kecemasan dan dengan adanya sukarelawan ditempatkan di kawasan tumpuan, pelancong akan berasa lebih selamat.

“Walaupun masih di usia muda, bagi saya inilah waktu dan ketika untuk saya membantu masyarakat yang memerlukan dan diharap ia juga dapat mendidik lebih ramai anak muda lain terlibat dalam kesukarelawanan,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

61
Kongsi :
Previous post Subsidiari Teladan, MCORP memeterai MoU bangun Taman Teknologi Jerman di Melaka
Next post Waris, balu anggota bomba ‘gugur’ terus dibantu
Ubah saiz-+=