Parkir berpusat Hospital Melaka bermula Oktober

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 26 Ogos – Parkir berpusat untuk pelawat ke Hospital Melaka di Taman 1 Lagenda akan dilaksanakan bermula Oktober depan.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, susulan itu satu notis makluman berhubung pelaksanaan itu akan dikeluarkan pada September.

Katanya, kira-kira 800 petak parkir termasuk di kemudahan bertingkat sedia ada di Hospital Melaka akan akan dikhaskan kepada warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kakitangan bertugas di bahagian kecemasan sahaja.

Menurutnya, pelawat lain ingin ke Hospital Melaka perlu meletakkan kenderaan di parkir berpusat disediakan dan meneruskan perjalanan menggunakan perkhidmatan bas ‘shuttle’ dikendalikan pihak Panorama.

“Selepas simulasi dijalankan di Taman 1 Lagenda kita menyediakan perkhidmatan bas dengan kekerapan antara lima hingga tujuh minit untuk keselesaan pelawat.

“Ada tiga ‘checkpoint’ untuk penumpang bas, bermula dari Taman 1 Lagenda, Pasar Raya Lotus dan Melaka Sentral ke Hospital Melaka.

“Di Hospital Melaka pula bas akan berhenti di Lobi bangunan baharu dan Klinik Pakar,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kumpulan Star Medik dan Persatuan Diabetes Malaysia Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan Star Medik dan Presiden Persatuan Diabetes Malaysia Melaka, Dr Nordina Abdul Latif.

Dr Muhamad Akmal berkata, kira-kira 70 petak parkir disediakan dan caj pada kadar terendah dikenakan bagi memastikan keselamatan pengguna dan kenderaan masing-masing.

Jelasnya, pelawat juga boleh menggunakan petak parkir biasa terletak berhampiran yang dikendalikan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Kita akan keluarkan notis awal sebelum perkara ini dikuatkuasakan, selepas itu kita akan laksanakan penguatkuasaan membabitkan PBT, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Selepas sebulan perkara ini dikuatkuasakan dan masih ada yang tidak ambil endah mungkin tindakan saman akan dikenakan,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3270
Kongsi :
Previous post Bincang hala tuju bola sepak Melaka
Next post Bentang bajet awal perkara biasa – PM
Ubah saiz-+=