Bincang hala tuju bola sepak Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

HALA tuju bola sepak Melaka menjadi antara perkara yang dibincangkan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) Datuk Wira Nur Azmi Ahmad ketika mengadakan pertemuan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam.

Nur Azmi yang baru sahaja dilantik sebagai Presiden 4 Ogos lalu, mengetuai delegasi MUSA untuk mengadakan kunjung hormat ke atas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Wira Hamidin Mohd Amin di Wisma FAM.

Dalam kunjungan itu, selain membincangkan hala tuju dan aspirasinya, Nur Azmi turut memaklumkan perkembangan terkini bola sepak Melaka kepada FAM.

Hamidin berkata, FAM menaruh keyakinan tinggi pelantikan Nur Azmi sebagai individu nombor satu bagi sukan bola sepak Melaka adalah tepat memandangkan pengalaman luasnya dalam bidang sukan.

“Saya yakin pelantikan beliau selaku Presiden MUSA yang baharu bakal memacu sukan bolasepak Negeri Melaka ke tahap lebih baik pada masa hadapan.

“(Walaupun) baru sahaja dilantik, beliau (Nur Azmi) mengambil inisiatif hadir ke FAM untuk membentangkan secara terperinci mengenai hal ehwal bola sepak Melaka termasuk perkembangan pemain,” katanya dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, Nur Azmi bukan nama asing dalam bidang sukan memandangkan beliau pernah menjawat jawatan penting di beberapa badan sukan.

Antaranya memegang jawatan Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Presiden Karate Malaysia dan Bekas Timbalan Presiden Hoki Malaysia.

Beliau juga diberi kepercayaan sebagai Ketua Kontinjen Malaysia pada temasya Sukan SEA XXI 2021 di Hanoi, Vietnam yang berlangsung Mei lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1635
Kongsi :
Previous post Isu KLFA: SPRM akan panggil saksi bantu siasatan
Next post Parkir berpusat Hospital Melaka bermula Oktober
Ubah saiz-+=