Parlimen: PM kemuka usul pengosongan kerusi Yang Dipertua Dewan Rakyat

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

KUALA LUMPUR 13 Julai – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengusulkan di Dewan Rakyat supaya jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dikosongkan atas alasan terdapat pencalonan lain bagi jawatan berkenaan.

Ahli Parlimen Pagoh itu bangun mengusulkan cadangan tersebut di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon.

“Bahawa Dewan Rakyat ini mengambil ketetapan untuk Tuan Yang Dipertua, Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Mohamad Ariff bin Md Yusof mengosongkan jawatannya atas alasan terdapat pencalonan lain bagi jawatan Tuan Yang Dipertua,” kataya ketika membacakan usul tersebut.

Usul berkenaan disokong Ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

Mohd Rashid kemudian membuka kepada sidang untuk membahaskan usul berkenaan.

Mohamad Ariff sebelum ini dipilih menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 16 Julai 2018, sebaik mesyuarat pertama Parlimen ke-14 selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Mengikut Aturan Mesyuarat hari ini, Muhyiddin akan mengusulkan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun bagi menggantikan Mohamad Ariff sebagai Yang Dipertua.

Selain itu, beliau turut dijadual mengusulkan supaya Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming mengosongkan jawatan sebelum kemudiannya mengusulkan cadangan  supaya Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said menggantikan Nga sebagai Timbalan Yang Dipertua.

Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 yang bersambung semula bermula hari ini sebelum ini hanya diadakan selama sehari pada 18 Mei lepas melibatkan titah ucapan pembukaan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Persidangan akan berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos 2020 berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19.

— BERNAMA

Views:

1029
Kongsi :
Previous post PRIHATIN: Tidak rakyat yang akan tercicir – PM
Next post MOA sasar nilai eksport sarang burung walit cecah RM3 bilion tahun ini
Ubah saiz-+=