MOA sasar nilai eksport sarang burung walit cecah RM3 bilion tahun ini

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

BANDA HILIR 13 Julai – Kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) mensasarkan nilai eksport sarang burung walit mencapai RM3 bilion menjelang penghujung tahun ini berbanding RM1.1 bilion tahun lalu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Norlizan Mohd Noor, berkata Malaysia adalah negara kedua terbesar pengeksport sarang burung walit selepas Indonesia.

Katanya, jumlah eksport industri berkenaan membabitkan sarang burung walit bersih (cleaned), sarang burung walit belum bersih (uncleaned) dan produk berasaskan sarang burung walit pada tahun lalu adalah sebanyak 5,654 metrik tan atau sebanyak RM1.154 bilion.

“Kerajaan menerusi kementerian sentiasa komited untuk membantu semua pihak terlibat dalam industri sarang burung walit khususnya pengekportan sarang burung walit bersih dan belum bersih.

“Pemfokusan juga diberikan terhadap menambah nilai kepada sarang burung walit bukan sekadar membesarkan lagi pasaran eksport malah nilai pulangan terhadap syarikat yang menghasilkan produk berasaskan sarang burung walit.

“Untuk itu bagi tahun 2020, kita mensasarkan peningkatan nilai eksport sarang burung walit meliputi sarang burung walit besih, belum bersih dan barang tambah nilai berasaskan sarang burung walit kepada RM3 billion menjelang akhir tahun 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat loji pemprosesan sarang burung walit belum bersih di Melaka Raya, di sini hari ini, yang akan mengekport 1,010 kilogram (kg) ke Negara China.

Dr Norlizan berkata, setakat ini sebanyak 34 syarikat seluruh negara menjadi pengeluar sarang burung walit bersih, manakala hanya satu syarikat sahaja menjadi pengeluar sarang burung belum bersih ke republik berkenaan.

“Kita masih menunggu laporan pihak berkuasa China untuk pertambahan beberapa lagi syarikat dan masih menunggu maklum balas daripada negara berkenaan,” katanya.

Views:

658
Kongsi :
Previous post Parlimen: PM kemuka usul pengosongan kerusi Yang Dipertua Dewan Rakyat
Next post Dua kampung di Jasin dilanda banjir kilat
Ubah saiz-+=