Dua kampung di Jasin dilanda banjir kilat

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

RIM 13 Julai – Kampung Terentang dan Semujuk, di sini dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat selama dua jam mulai jam 1 pagi ini dengan kebanyakan kawasan dinaiki air setinggi kira-kira 0.30 meter.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri, Mejar (PA) Kamarulsyah Muslim berkata, kebanyakan kawasan mula dinaiki air pada jam 3 pagi selepas sungai di kedua-dua kampung berkenaan melimpah.

“Kampung itu terletak di kawasan rendah dan anggota APM memantau keadaan di lokasi kejadian bagi memastikan keselamatan mangsa banjir.

“Bagaimanapun, setakat ini tiada mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana situasi terkini menunjukkan air semakin surut di kebanyakan kawasan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa banjir terpaksa memindahkan perabot ke tempat tinggi tetapi tidak membuat persiapan untuk meninggalkan kediaman masing-masing.

Mangsa, Abdul Karim Mohd Ali, 54, berkata beliau terkejut apabila jiran menjerit mengarahkan beliau dan lima anggota keluarganya segera bangun daripada tidur untuk mengambil langkah berjaga-gaja pada jam 3 pagi.

“Hujan lebat mulai jam 1 pagi tetapi saya tertidur hinggalah jiran menjerit mengarahkan semua orang dalam rumah saya bangun kerana air sudah naik.

“Kami sekeluarga bertindak segera memindahkan perabot dan peralatan elektrik ke tempat tinggi, selain mengambil dokumen penting sebagai langkah berjaga-jaga jika air terus naik lagi,” katanya di Kampung Terentang.

Bagaimanapun beliau bersyukur kerana air mulai surut pada jam 7 pagi dan keadaan kembali beransur-ansur tenang dan beliau sekeluarga mula membersihkan rumah daripada lumpur yang masuk hingga ke serambi rumah.

Mat Karim Abu Bakar, 46, berkata beliau dan enam anggota keluarga mengambil langkah berjaga-jaga apabila hujan semakin lebat pada jam 1.30 pagi dan mula memindahkan perabot ke tempat tinggi.

“Alhamdulillah, air mulai surut pada jam 7 pagi dan kami terpaksa bertungkus-lumus membersihkan beranda rumah yang dinaiki air,” katanya.

Sehubungan itu beliau meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil langkah segera mendalamkan sungai di kampung berkenaan yang didakwanya semakin cetek akibat mendapan lumpur.

Beliau mendakwa, mendapan lumpur bertambah buruk sejak beberapa bulan lalu berikutan hujan lebat di hulu sungai.

Views:

352
Kongsi :
Previous post MOA sasar nilai eksport sarang burung walit cecah RM3 bilion tahun ini
Next post Singapura, Malaysia setuju teruskan kerjasama tangani cabaran Covid-19
Ubah saiz-+=