PBT Melaka agresif tingkat produktiviti menjelang 2024

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 23 Februari – Kesemua empat pihak berkuasa tempatan (PBT) di Melaka mengambil pendekatan agresif dalam menaik taraf lokasi dan kawasan tumpuan pelancong menjelang Tahun Melawat Melaka 2024.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan berkata empat PBT negeri iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) diarah untuk bersedia lebih awal dengan produk-produk terkini sebagai persiapan menyambut kehadiran pelancong, tahun depan.

“Kesemua PBT telah diarahkan untuk menampilkan produk-produk pelancongan baharu bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 dan banyak kerangka perancangan yang disusun atur sepanjang tahun 2023 ini.

“Bagi lokasi tumpuan sedia ada, kita akan baik pulih dan segelintir akan dinaik taraf. Proses ini sedang disusun kerangkanya dari pelbagai aspek termasuklah aspek keceriaan, kebersihan dan mesra pengguna supaya pelancong boleh datang kembali ke Melaka ini.

“Ini juga dilakukan bagi mencapai 19 juta pelancong yang pernah dicapai pada tahun 2019 lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Simbolik Pelepasan Kakitangan MPJ dan MPAG bagi Program Ekspedisi Mengibarkan Bendera MPJ dan MPAG di Annapurna Base Camp di pejabatnya.

Hadir sama, Yang Dipertua MPJ Rosemanizam Mohammed Nalif dan Yang Dipertua MPAG TPr. Saifuddin Abdul Karim.

Dalam program ringkas itu, dua wakil masing-masing dari MPJ, Mahdhar Mohd Noh, 35 dan wakil dari MPAG, Abdul Rahman Nordin, 51 akan menyertai ekspedisi luar biasa mendaki pergunungan Annapurna, Nepal bermula 25 Februari hingga 11 Mac ini.

Mengulas lanjut, Zaidi berkata, semangat dua kakitangan PBT itu wajar menjadi contoh kepada semua wargakerja PBT lain dalam mendepani cabaran baharu sekaligus meletakkan PBT Melaka di tahap tertinggi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1605
Kongsi :
Previous post Kibar bendera MPJ, MPAG di puncak Annapurna
Next post Pemilihan UMNO: Mahdzir umum pertahan jawatan Naib Presiden
Ubah saiz-+=