Pemilihan UMNO: Mahdzir umum pertahan jawatan Naib Presiden

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

KUALA LUMPUR, 23 Feb – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid mengumumkan untuk mempertahan jawatan itu pada pemilihan parti yang dijadual berlangsung bulan depan.

Ketua UMNO Bahagian Padang Terap itu berkata keputusan tersebut dibuat bagi meneruskan perjuangan beliau untuk berkhidmat kepada parti selain mahu terus bersama kepimpinan ketika parti sedang berdepan cabaran bagi meraih semula sokongan rakyat terutama Orang Melayu.

“Ketika UMNO berada dalam situasi yang mencabar, saya mengambil pendirian untuk meneruskan perjuangan serta khidmat bakti untuk parti dan menawarkan diri untuk bersama-sama dengan saf kepimpinan tertinggi Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan Timbalan Presiden (Datuk Seri Mohamad Hasan),” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar itu juga memaklumkan sudah menghantar borang pencalonan ke Menara Dato’ Onn pagi tadi.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut mengumumkan hasrat mempertahan jawatan sebagai Naib Presiden manakala seorang lagi penyandang yang juga bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob belum membuat sebarang pengumuman.

Turut mengumumkan hasrat bertanding jawatan itu ialah bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Hasni Mohammad.

Pemilihan UMNO diadakan bermula pada 1 Feb lepas hingga 18 Mac ini dengan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda serta Pergerakan Puteri Cawangan ialah dari 1 hingga 26 Feb ini.

Selain itu, Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Exco Pergerakan Pemuda dan Exco Pergerakan Puteri UMNO Pusat bakal diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi UMNO pula akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

922
Kongsi :
Previous post PBT Melaka agresif tingkat produktiviti menjelang 2024
Next post 65 anggota penyelamat terlibat misi SAR di Turkiye pulang hari ini
Ubah saiz-+=