Sorting by

×

PBT perlu sediakan lebih banyak ruang niaga – Sulaiman

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 28 Mac – Kerajaan negeri menyeru semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini memperbanyakkan ruang berniaga kepada golongan belia dan individu terkesan pandemik COVID-19.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, usaha itu sekali gus memberi peluang kepada rakyat di negeri ini menjana ekonomi dan membantu menambahkan pendapatan sendiri.

Ujarnya, keberkesanan langkah menyediakan ruang berniaga itu dapat dibuktikan apabila Ley Park Station yang dibuka dua bulan lalu memberi peluang kepada peniaga kecil menjana pendapatan di samping menjadi tarikan baharu di Ayer Keroh.

“Di sini terdapat 90 peniaga dan 17 daripadanya merupakan individu yang terkesan COVID-19, apabila diberhentikan kerja mereka mencari peluang lain untuk bangun dan berjaya memperoleh pendapatan sendiri.

“Dalam tempoh dua bulan beroperasi ada antara mereka menerima pendapatan memberangsangkan sehingga memperoleh jualan sekitar RM12,000 hingga RM17,000 sebulan.

“Ada juga ketua isi rumah yang sebelum ini merupakan penerima bantuan tapi keberhasilan dari ruang niaga yang disediakan ini mereka ambil peluang berniaga dan akhirnya telah keluar dari senarai penerima bantuan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Ley Park Station di Dataran Ayer Keroh, di sini malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman serta tetamu kenamanaan lain.

SULAIMAN (dua dari kanan) bersama Zaidi (tiga dari kiri) merasmikan Ley Park Station di Dataran Ayer Keroh, di sini malam tadi.

Pada masa sama, Sulaiman berkata, bagi memperkasa ekonomi rakyat terkesan dalam pasca penularan pandemik COVID-19, inisiatif Melaka Bebas Berniaga yang menjadi aspirasi kerajaan negeri tetap diteruskan pada bulan Ramadan akan datang.

Katanya, kebenaran itu juga termasuk membenarkan rakyat di negeri ini berniaga di hadapan rumah masing-masing bagi menjana pendapatan mereka, bagaimanapun ia perlu membuat permohonan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan masing-masing.

“Dalam endemik nanti kita bagi (kelonggaran) dan mohon sahaja kita akan permudahkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

841
Kongsi :
Previous post Keluarga mangsa nahas pesawat China berkabung
Next post KPDNHEP jamin siasat kenaikan harga barang terperinci
Ubah saiz-+=