KPDNHEP jamin siasat kenaikan harga barang terperinci

KUALA TERENGGANU, 28 Mac – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan akan menyiasat setiap kes kenaikan harga barangan yang melampau secara terperinci dan menyeluruh di setiap peringkat pengedaran bagi mengelak berlakunya aktiviti pencatutan.

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata setiap aduan kenaikan harga tidak munasabah akan diselidik bermula daripada pihak pengeluar, pemborong, pengedar dan peruncit bagi melihat puncanya.

Beliau berkata sebagai negara yang mengamalkan sistem ekonomi terbuka, harga barangan ditentukan oleh faktor permintaan dan penawaran serta peniaga boleh menentukan sebarang perubahan harga barangan namun tertakluk kepada penguatkuasaan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

“Kita tidak boleh mengelak kenaikan harga ini disebabkan pelbagai faktor namun tidak munasabah jika keuntungan yang diperoleh di setiap peringkat pengedaran barangan tersebut membebankan pengguna.

“Sekiranya siasatan kita mendapati kenaikan harga itu tidak munasabah dan berlaku pencatutan berdasarkan dokumen pembelian di setiap rantaian tadi, maka mereka akan dikenakan tindakan di bawah AKHAP 2011,” katanya kepada pemberita selepas majlis Apresiasi Media Terengganu di sini malam tadi.

Menurutnya lebih 2,200 pegawai penguat kuasa dengan dibantu kira-kira 1,000 pegawai pemantau harga (PPH) akan memantau aktiviti perniagaan di bazar Ramadan seluruh negara tahun ini.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

10

Share and Enjoy !

Shares
Previous post PBT perlu sediakan lebih banyak ruang niaga – Sulaiman
Next post Bufet Ramadan di hotel biar berpatutan – Sulaiman