
SEMANGAT ‘GELOMBANG BIRU’ GEGAR MITC
AYER KEROH 24 Oktober – Gelombang biru mewarnai kawasan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, malam ini, bersempena Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya dan Pengenalan Calon Barisan Nasional Negeri Melaka bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Sejak petang lagi, suasana meriah dengan kehadiran jentera parti serta pemimpin Barisan Nasional (BN) yang berhimpun bagi memberi sokongan kepada calon yang bakal bertanding dan mewakili suara rakyat mewakili setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Majlis berkenaan bakal disempurnakan oleh Pengerusi BN Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Utama Mohamad Hasan, Pengerusi MCA Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong dan turut dihadiri pemimpin-pemimpin utama BN.
Turut bersama, Pengerusi BN Melaka merangkap Pengarah Pilihan Raya BN Negeri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bersama ketua-ketua UMNO Bahagian Negeri Melaka serta lain-lain kenamaan.
Difahamkan, BN bakal menyenarai seramai 21 calon daripada 28 kerusi DUN Melaka, manakala tujuh lagi bakal ditandingi parti gabungan iaitu PAS bersama rakan strategik.
Pengumuman itu juga bakal memperlihatkan siapa penyandang yang akan terus diberi mandat bertanding dan muka-muka baharu yang diberi kepercayaan untuk bertanding mewakili BN pada PRN kali ini.
Kehadiran penyokong dengan mengenakan pakaian berwarna biru turut menyemarakkan suasana majlis, sekali gus memperlihatkan semangat jentera parti menjelang hari penamaan calon pada 31 Oktober ini.
PRN Melaka dijadual berlangsung pada 14 November ini, manakala pengundian awal ditetapkan pada 10 November.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

