PBT perlu tarik lesen pusat hiburan jika masih berdegil – Ismail Sabri

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 19 Dis. – Kerajaan menegaskan kepada mana-mana pengusaha pusat hiburan, pub dan kelab malam yang ingkar supaya menghentikan operasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan lebih tegas perlu diambil pihak berkuasa tempatan (PBT) berikutan masih terdapat premis yang mengingkari dan melakukan pelanggaran perintah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Ujarnya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengambil keputusan agar tindakan lebih keras diperuntukkan kepada pengusaha premis dengan membatal dan menyenaraihitam setiap lesen perniagan pusat hiburan yang mengingkari perintah terbabit.

ISMAIL Sabri (tengah) hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) kali ke-27. Foto: MR. Azli

“Setiap hari masih lagi terdapat tindakan yang dikenakan membabitkan pusat hiburan sedangkan arahan penutupan operasi telah dikeluarkan dan berada dalam senarai terlarang namun mereka tetap buat sendiri,” tegasnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Yayasan Pencegahan Jenayah (MCPF) Kali Ke-27 di Hotel Mudzaffar, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Naib Presiden Kanan MCPF, Tan Sri Lim Lam Thye.

Dalam pada itu katanya, kerajaan berharap agar kerjasama perlu dititikberatkan bersama PBT bagi menghalang pengoperasian yang tidak dibenarkan dan dianggap haram itu

“Saya turut berbincang dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin agar menyampaikan arahan ini secara terus kepada PBT di negara ini kerana kita masih melihat mereka masih berdegil dengan keadaan ini.

“Perkara ini juga disebabkan kuasa bagi membatalkan lesen perniagaan dibawah kerajaan negeri walaupun PBT di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan sebab itu saya harap majlis daerah, majlis perbandaran atau majlis bandaraya supaya patuh kepada saranan yang dibuat oleh kerajaan Persekutuan,” jelasnya.

Views:

286
Kongsi :
Previous post Pemergian Tun Rahah satu kehilangan besar negara – Dr Mahathir
Next post PKPD di Pusat Koreksional Jasin ditentukan Isnin depan
Ubah saiz-+=