PDRM minta SPRM kongsi maklumat sindiket Macau Scam, judi dalam talian

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

KUALA LUMPUR 3 Mac. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berharap pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkongsi setiap maklumat berkaitan sindiket penipuan Macau Scam dan kegiatan perjudian dalam talian.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata perkongsian maklumat itu amat penting bagi PDRM untuk mengambil tindakan terhadap pegawai dan anggota polis yang bersekongkol dengan sindiket terbabit.

Beliau berkata kes itu agak rumit kerana datang daripada SPRM sebelum siasatan diserahkan kepada polis.

“Maka PDRM adalah pihak berkuasa nombor dua yang menyiasat perkara itu dan saya harap SPRM berkongsi segala maklumat mereka ada untuk pihak saya membuat keputusan tepat dan adil,” katanya kepada pemberita selepas menerima dos pertama suntikan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai 31 warga PDRM yang dikenal pasti bersekongkol dengan sindiket terbabit bakal berdepan hukuman berat tidak lama lagi.

“Mereka yang terlibat dengan sindiket ini akan dibuang kerja termasuklah penurunan pangkat atau lain-lain lagi yang difikirkan adil dan hukuman setimpal oleh Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

“Tindakan menghukum mereka yang terlibat akan ditentukan oleh SPP yang akan bersidang (kelak),” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Goh Leong Yeong dan Zaidi Kanapiah, atau dikenali sebagai Addy Kanna, ditahan SPRM pada Oktober 2020 selepas didapati menjalankan aktiviti penipuan Macau Scam serta judi dalam talian yang menyasarkan mangsa di China selain bekerjasama dengan kartel penipuan di luar negara.

SPRM turut menahan serta menyoal siasat beberapa selebriti terkenal, pegawai dan anggota polis yang melindungi sindiket terbabit.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

718
Kongsi :
Previous post Melaka catat lapan kes sembuh baharu
Next post Kumpulan pertama vaksin AstraZeneca dijangka tiba pada suku kedua tahun ini
Ubah saiz-+=