Pekebun durian berdepan hukuman gantung

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

AYER KEROH 22 Sept. – Pekebun durian berdepan hukuman gantung selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh kenalan wanitanya dalam kejadian awal bulan ini.

Tertuduh, Lo Kui Khiong, 54, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin dihadapan Majistret Teoh Shu Yee dan tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap seorang perempuan warganegara Indonesia berusia 40 tahun dalam kejadian di sebuah rumah tidak bernombor di kebun durian di Taman Bertam Impian, di sini, antara jam 12.30 tengah malam hingga 9 pagi pada 7 September 2020.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 November depan tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Melaka Hari Ini pada 10 September lalu melaporkan, mayat wanita warga asing dijumpai dalam keadaan tidak sempurna dalam sebuh rumah kosong di dalam kawasan kebun durian.

Mayat terbabit ditemui berbungkus dengan plastik oleh sepasukan polis selepas menerima maklumat kira-kira jam 10.25 malam kelmarin dan kejadian dikatakan berlaku pada Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, laporan dibuat seorang lelaki yang mendakwa bapanya dipercayai bertindak membunuh seorang wanita.

Views:

463
Kongsi :
Previous post Empat individu ditahan jumpa mayat dalam beg
Next post Pekerja bayar cukai LHDN perlu diberi kelonggaran – Saravanan
Ubah saiz-+=