Empat individu ditahan jumpa mayat dalam beg

Masa Membaca:59 Saat

AYER KEROH 22 Sept. – Polis menahan empat individu termasuk seorang wanita susulan penemuan sebuah beg hitam berisi mayat dalam sebuah kereta terbakar di Kawasan Perindustrian Ringan Pulau Sebang, pada Khamis lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, kesemua yang ditahan berusia antara 26 hingga 38 tahun termasuk isteri mangsa.

“Kesemua mereka termasuk pemilik kereta ditahan pada Ahad di sekitar Johor Bahru selepas pihak polis menerima maklumat.

“Mereka kini direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga Ahad depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta motif pembunuhan,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Nor Yhazid berkata, proses mengenal pasti identiti mangsa dilakukan menggunakan Sistem Indentifikasi Cap Jari Biometrik (Biofis).

“Mayat yang ditemui di dalam beg adalah seorang lelaki berusia 31 tahun dan beralamat di Gelang Patah, Johor selain proses pengecaman mangsa pula dilakukan oleh adiknya,” katanya.

Melaka Hari Ini pada 17 September melaporkan, kebakaran sebuah kereta yang diletakkan di hadapan bengkel kenderaan membawa kepada penemuan mayat.

Kewujudan sebuah beg hitam yang berisi mayat itu disedari sepasukan bomba yang memadam kebakaran kira- kira jam 7.20 pagi.

Pihak bomba yang mengesyaki terdapat mayat di dalam beg hitam dibahagian penumpang belakang kemudian menghubungi polis.

Views:

419
Kongsi :
Previous post Pakar akademik bantu lengkapi kriteria UNIMEL
Next post Pekebun durian berdepan hukuman gantung
Ubah saiz-+=