Pekerja kilang maut, motosikal rempuh SUV

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

KLEBANG 1 April – Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam kemalangan di Jalan Bukit Rambai, di sini malam tadi.

Dalam kejadian pada jam 7.50 malam itu, Muhammad Nur Syakirin Mohammad Razid, 20 maut di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata siasatan awal mendapati mangsa dan SUV dipandu lelaki berusia 32 tahun dalam perjalanan dari arah yang sama iaitu dari Batang Tiga menghala ke Bukit Rambai.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian SUV terbabit mahu memasuki simpang ke kiri menghala perkarangan rumah.

“Ketika membelok ke kiri, mangsa yang datang dari arah belakang gagal mengelak lalu merempuh bahagian sisi kiri SUV tersebut.

“Akibat rempuhan itu, penunggang motosikal tercampak ke dalam longkang dan parah di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu SUV tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat.

“Polis sedang mengesan saksi bebas untuk membantu siasatan dan sampel darah pemandu SUV tersebut diambil bagi tujuan ujian toksikologi.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

970
Kongsi :
Previous post Rai, kongsi rezeki bersama anak yatim
Next post 21 individu dakwa ditipu pakej umrah
Ubah saiz-+=