Pelaburan aeroangkasa di Telok Gong

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 10 November – Kawasan Perindustrian Telok Gong, Kuala Sungai Baru, bakal menjadi pusat pengeluaran komponen pesawat antarabangsa menerusi pelaburan bernilai lebih RM70 juta.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, perancangan itu adalah hasil Perjanjian Usahasama (MOA) antara MAIM Holdings Berhad dan Zhejiang Preservative Defense Technology Co dari China, serta Aeronautic Ventures Sdn Bhd.

Katanya, mengikut perancangan kilang menghasilkan komponen pesawat itu akan beroperasi dalam tempoh lima tahun dan dijangka mampu membuka lebih 1,000 peluang pekerjaan baharu kepada anak tempatan khusus graduan institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

“Pelaburan ini secara keseluruhan berjumlah RM70,387,500 (USD15 juta). Alhamdulillah, menerusi kerjasama dan kemasukan pelaburan baharu daripada China ini, secara tidak langsung mendukung hasrat Kerajaan Negeri dalam menjadikan Melaka sebagai negeri mesra pelabur.

“Perancangan ini akan memberikan limpahan pembangunan, ekonomi dan peluang pekerjaan kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara dan Kuala Linggi,” katanya ketika ditemui demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani MOA berkenaan di sebuah hotel, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi, Rosli Abdullah.

Pada majlis itu MAIM Holdings Berhad diwakili Pengurus Besarnya Abdul Rahim Yunos, sementara itu Zhejiang Preservative Defense Technology Co diwakili Pengerusinya Jeneral manakala Aeronautic Ventures Sdn Bhd, diwakili Pengarah Urusannya Datin Lily Roslinda Misran.

Menurutnya, Kerajaan Negeri kini sedang mengusahakan agar segala pengurusan pembangunan infrastruktur di Melaka dapat disegerakan, sekali gus  menarik dan meningkatkan lagi tahap keyakinan pelabur.

“Kita sedang cari jalan untuk permudahkan segala urusan pelaburan di Melaka kerana sebelum ini ada kekangan menyebabkan kelulusan itu mengambil masa yang lama. Kelulusan perlu melalui pelbagai agensi hingga akhirnya mengurangkan minat pelabur untuk bertapak di Melaka.

“Jadi kita sedang mengkaji perkara ini seperti mewujudkan sebuah pusat sehenti untuk menilai kawasan-kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan agar mampu mempermudahkan urusan pelabur,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3003
Kongsi :
Previous post Warga emas hilang dikhuatiri lemas di sungai
Next post Nekad berubah demi anak
Ubah saiz-+=