Sorting by

×

Nekad berubah demi anak

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

SUNGAI UDANG 10 November – “Ma, pergilah, kami anak-anak tunggu Ma,” kata-kata itu menjadi penguat semangat kepada bekas banduan, Suriana (bukan nama sebenar) untuk berubah sehingga sanggup menyerah diri untuk dipenjarakan akibat kesalahan dadah.

Ibu tunggal kepada empat cahaya mata itu antara 15 Orang Bebas Berlesen (OBB) yang dibebaskan menerusi Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Ihsan Madani di Penjara Sungai Udang dan diberi penempatan pekerjaan.

Suriana berkata, meskipun anak-anak kecewa dengan sikapnya yang tidak berubah sejak lima kali dimasukkan ke penjara atas kesalahan sama namun dia bersyukur mereka tidak pernah membuang dirinya.

“Saya sudah 15 tahun terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan pertama kali terjebak akibat pengaruh kawan-kawan dan dalam tempoh itu saya abaikan anak-anak termasuk tidak hantar mereka ke sekolah.

“Apabila saya di dalam (penjara), anak-anak terbiar sehinggakan keluarga bekas suami terpaksa ambil anak-anak pulang ke Terengganu dan bila saya keluar semula, saya ambil semula mereka.

“Perkara itu berlanjutan sehingga satu tahap, saya sendiri pergi ke Balai Polis Kandang dengan ditemani anak sulung untuk menyerah diri meskipun kes yang bersangkut itu sudah lama iaitu pada tahun 2001 kerana nekad betul-betul mahu berubah demi mereka,” katanya.

Tambahnya, apabila dimasukkan ke penjara kali kelima itu, dia bersyukur diberi pelepasan 103 hari lebih awal daripada tarikh pembebasan selain diberi peluang pekerjaan.

“Sepanjang lima tahun keluar masuk penjara, saya banyak menimba ilmu agama selain belajar mendisplinkan diri dan hidup berdikari.

“Hukuman kali ini paling cepat dan saya nekad tidak mahu kembali ke penjara dan mahu kekal bekerja bersungguh-sungguh,” katanya.

Sementara itu, wakil pengurusan sebuah kedai kopi di Ayer Keroh yang mengambil Suriana bekerja, Masaini Muhamad berkata syarikatnya sentiasa membuka peluang kepada bekas banduan untuk mendapatkan pekerjaan.

“Sebagai sebuah syarikat, kita bantu mereka ini untuk bersama-sama dengan komuniti supaya dapat membantu mereka berubah.

“Alhamdulillah, setakat ini lapan OBB termasuk Suriana bekerja dengan syarikat kita dan setakat ini semuanya menunjukkan kelakuan dan sikap yangĀ baik,”Ā katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

9125
Kongsi :
Previous post Pelaburan aeroangkasa di Telok Gong
Next post Tol percuma dua hari sempena Deepavali
Ubah saiz-+=