Pelajar 20 universiti santuni orang Tanjung Bidara

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

TANJUNG BIDARA 7 Mac – Seramai 200 sukarelawan dalam kalangan pelajar universiti awam seluruh negara menyantuni penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara menerusi Program TUAH Volunteer Team (TVT), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UTeM, Prof. Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif berkata, program empat hari bermula kelmarin itu adalah antara intipati penganjuran Konvensyen Sukarelawan Universiti Malaysia (UNIVC) 2024.

Katanya, penyertaan sukarelawan dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan turut membabitkan mahasiswa mewakili universiti dari Sabah dan Sarawak.

“Program ini dimulakan di Kampus UTeM dengan sukarelawan mengikuti ceramah dan forum yang disampaikan beberapa figura sukarelawan terkenal tanah air.

“Hari ini (semalam) kita pilih untuk datang ke DUN Tanjung Bidara bagi menjayakan aktiviti seperti pembersihan Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu dan menanam pokok di Lubok China.

“Kami juga mengajak penduduk tempatan untuk turut serta bersama sukarelawan dalam program sukan seperti futsal dan bola jaring. Turut dianjurkan pertandingan eSukan iaitu Mobile Legends Bang Bang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri program diadakan di Japerun Tanjung Bidara, di sini, semalam.

Penganjuran program dimeriahkan lagi dengan kehadiran Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

529
Kongsi :
Previous post 108,934 telah mendaftar PADU di Melaka
Next post Bina kompleks belajar al-Quran di Bukit Rambai
Ubah saiz-+=