Sorting by

×

PELATIH PLKN GAGAL LAPOR DIRI, MINDEF TUNGGU LAPORAN PENUH JLKN

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 16 Jun – Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedang melaksanakan penilaian dan menunggu laporan penuh daripada Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) berkaitan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Batch 3 yang gagal melaporkan diri.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, pihaknya tidak mahu menggunakan akta atau sebarang bentuk paksaan kepada pelatih yang tidak melaporkan diri.

Bagaimanapun katanya, jika ada keperluan akta Seksyen 18 (1) Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628) boleh digunakan terhadap calon yang gagal melaporkan diri tanpa sebab.

“JLKN telah memilih calon itu dengan mengambil kira semua faktor termasuk kesihatan, pekerjaan serta pelbagai lagi faktor berkaitan.

“Bagi PLKN ‘Batch’ pertama lebih kepada calon sukarela dan batch kedua ini adalah melalui senarai yang telah JLKN muktamadkan. Buat masa ini kita sedang meneliti laporan yang diterima daripada JLKN secara teliti sebelum mengambil sebarang tindakan.

“JLKN juga dalam masa terdekat akan bentangkan laporan kepada MINDEF namun ada beberapa proses perlu dilalui yang mana program ini sebenarnya calon dan keluarga calon itu sendiri perlu ada kesedaran,”katanya pada sidang media Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar Jeneral Datuk Semaon Marjuki; Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad dan kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Adly berkata PLKN itu sendiri bertujuan untuk membina jati diri terutama dalam kalangan belia seterusnya untuk kepentingan negara juga.

“Meskipun terdapat calon yang memberi justifikasi untuk tidak hadir mereka boleh maklum kepada kita dan kita akan buat penilaian namun kita tidak benarkan kalau tanpa sebab kukuh mereka tidak berdaftar di PLKN.

“Jadi itu sebab kita akan menilai dari semasa ke semasa dan menambah baik segala kekurangan yang mana kita harapkan mereka tidak sambil lewa apabila menerima surat lapor diri PLKN.

“Apabila sudah tercalon, kita telah mengambil kira semua sudut dan perkara membabitkan calon, tetapi semua ini berbalik kepada kesedaran dalam kalangan pelatih itu sendiri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

406
Kongsi :
Previous post JAWATANKUASA KHAS TANGANI ISU PETANI BUKAN WARGANEGARA – EXCO
Next post MAYAT REPUT DI LADANG KELAPA SAWIT DISAHKAN LELAKI DEWASA