Peluang anak B40 ubah nasib diri, keluarga

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

BANDARAYA MELAKA 12 Disember – Rata-rata ibu bapa pelajar cemerlang yang terpilih menyertai Program Mercu Anak Bangsa menzahirkan harapan tinggi untuk melihat anak mereka berjaya kelak.

Suri rumah, Kartinah Buang, 53, seakan tidak menyangka anaknya bongsunya terpilih dan diberi kepercayaan mewakili Sekolah Menengah Agama (SMA) JAIM Al Ahmadi.

Dia percaya program seumpama itu mampu meningkatkan motivasi anaknya, Muhammad Fitri Mohd Ali Hanafiah, 17, yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Februari tahun hadapan.

“Saya sendiri belajar tidak tinggi, tapi sering saya beritahu pada anak bongsu saya yang terpilih ini untuk belajar tinggi-tinggi, ubah nasib diri menerusi kerjaya, peluang seperti ini tidak datang banyak kali.

“Saya turut difahamkan, jika cemerlang dalam SPM akan ada pihak yang ingin menaja pembelajaran, saya bersyukur dan mengharapkan dia berjaya.

“Semoga program anjuran Yayasan Pelajaran Mara (YPM) ini dapat melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang dalam kalangan B40 di masa hadapan,” katanya.

Nada sama disuarakan seorang lagi ibu pelajar, Nor Halizan Abdul Halim, 39, yang turut meletakkan harapan tinggi kepada anak perempuannya, Nur Ain Jeffrie, 17, mewakili Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Perempuan Melaka.

IMG_20221212_232708_423
MELAKA 12 DISEMBER 2022. Pelajar, Nurul Ain Jeffrie, 17, (kanan) memeluk ibunya Nor Halizan Abdul Halim, 39, (kiri) kerana terpilih menyertai Program Mercu Anak Bangsa. Foto: MR. AZLI

Jelas Nor Halizan, apabila dimaklumkan anaknya menjadi wakil tunggal sekolah untuk ke program itu, dia berasa bangga dan bersyukur.

“Anak saya memang cemerlang, baru-baru ini saya dimaklumkan dia mendapat keputusan 8A dan 1C. Pada awalnya saya tidak meletak harapan terlalu tinggi, namun saya percaya dia mampu untuk mendapat 9A pada SPM nanti.

“Sebagai anak sulung, dia adalah contoh dan teladan kepada dua lagi adiknya, saya harap apabila dia mengikuti program ini, dapatlah tingkatkan semangat dan tidak terlalu rasa terbeban.

“Terima kasih juga saya ucapkan kepada YPM, Jabatan Pendidikan dan Kementerian Pendidikan kerana memilih anak saya mengikut program seumpama ini, turut diharapkan akan ada lagi program-program ini di masa hadapan,” katanya.

Untuk rekod, seramai 30 pelajar cemerlang dari sekolah sekitar Melaka yang tergolong dalam kalangan B40 terpilih menyertai program Mercu Anak Bangsa anjuran Yayasan Pelajaran MARA (YPM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Bank Pembangunan Malaysia Berhad dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN).

Program itu, merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang menyediakan kelas bimbingan percuma dan berfokus kepada bakal pelajar cemerlang SPM.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2607
Kongsi :
Previous post 30 pelajar B40 cemerlang Melaka dibimbing
Next post Mangsa banjir di Pahang, Perak, Terengganu dan Johor meningkat, Kelantan kekal
Ubah saiz-+=