30 pelajar B40 cemerlang Melaka dibimbing

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

BANDARAYA MELAKA 13 Disember – Seramai 30 pelajar cemerlang yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari sekolah-sekolah sekitar Melaka telah dipilih menyertai Program Mercu Anak Bangsa.

Program selama empat hari itu merupakan anjuran Yayasan Pelajaran MARA (YPM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Bank Pembangunan Malaysia Berhad dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN).

Ketua Pegawai Eksekutif YPM, Mohd Amran Mohd Ariffin berkata, program julung kali diadakan itu merupakan inisiatif tanggungjawab korporat sosial (CSR) yang berobjektifkan untuk menyediakan kelas bimbingan percuma dan berfokus kepada bakal pelajar cemerlang SPM.

“Program ini kita pilih dan buat saringan seramai 30 pelajar bumiputera dari golongan B40 yang mana potensi untuk cemerlang tinggi namun tidak berkemampuan.

“Program ini khas untuk meningkatkan motivasi dan keyakinan diri para pelajar menerusi penyediaan penajaan pengajian ke peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mahu pun Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS),” katanya

Beliau berkata demikian dalam ucapannya dalam Majlis Perasmian Program Mercu Anak Bangsa di sebuah hotel di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah MARA negeri, Nurul Azmi Johari; Ketua Kumpulan, Pengurusan Syariah Kumpulan, Bank Pembangunan Malaysia Berhad, Noor Ain Mohd Amin dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pembelajaran JPN, Khadijah Ahmad.

IMG_20221212_231429_868
MELAKA 12 DISEMBER 2022. Sebahagian pelajar yang hadir pada Majlis Perasmian Program Mercu Anak Bangsa. Foto: MR. AZLI

Mengulas lanjut, Mohd Amran berkata program tersebut mengandungi dua elemen utama, termasuk tuisyen elit pelajar SPM dan program tertiari.

“Untuk tuisyen elit, para pelajar akan dibimbing oleh guru pakar dari KPM selama 10 sesi.

“Manakala bagi program tertiari, adalah selepas keputusan SPM keluar dan para pelajar cemerlang dengan keputusan semuanya A+, para pelajar akan ditentukan oleh pihak penaja dengan persetujuan YPM menerusi kaedah saringan untuk dipilih,” katanya.

Jelasnya, program itu akan membantu pelajar untuk membuka peluang kerjaya selepas tamat SPM kelak.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2130
Kongsi :
Previous post Banjir: Hampir 100 anggota APM bertugas di Pasir Mas
Next post Peluang anak B40 ubah nasib diri, keluarga
Ubah saiz-+=