Pemandu kereta maut dirempuh lori pasir

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KLEBANG 11 Jun – Seorang kontraktor maut selepas kereta dipandu dirempuh lori muatan pasir dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat jalan persisir Pantai Klebang – Limbongan di sini petang semalam.

Dalam kemalangan pada jam 2.10 petang itu, Haliman Tukimon, 53 yang memandu kereta jenis PROTON Wira maut di lokasi kejadian manakala pemandu lori berusia 57 tahun tidak cedera.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintedan Raiz Mukhlis Azman Aziz berkata, siasatan awal mendapati lori berkenaan dalam perjalanan dari Bulatan Klebang menghala ke lampu isyarat berhampiran Encore.

Katanya, mangsa pula dalam perjalanan dari arah Jalan Limbongan Lama menghala ke Jalan Persisir Pantai.

“Ketika tiba di simpang lampu isyarat Jalan Persisir Pantai, lori bergerak lurus manakala kereta dipandu mangsa secara tiba-tiba kereta keluar dari simpang dan membelok ke kanan.

“Lori berkenaan tidak sempat mengelak sebelum merempuh sisi kanan kereta dan dipercayai diseret kira-kira 43 meter,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

ANGGOTA bomba bantu mengeluarkan mangsa yang tersepit. Foto ihsan JBPM Melaka

Mengulas lanjut, beliau berkata akibat kemalangan itu, pemandu kereta maut di lokasi kejadian dan anggota bomba memberi bantuan di lokasi kejadian untuk mengeluarkan mayatnya yang tersepit.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka (HM) untuk proses bedah siasat yang akan dijalankan pada hari ini selepas keputusan COVID-19 diperolehi manakala pemandu lori diambil sampel darah untuk dihantar ke Jabatan Kimia,” katanya.

Raiz Mukhlis berkata siasatan di lokasi kejadian mendapati keadaan jalan lurus dan mempunyai dua lorong dan satu susur.

Katanya, siasatan turut mendapati terdapat kesan brek tayar lori manakala lampu isyarat di lokasi tidak berfungsi dengan lampu kuning menyala berkelip-kelip.

“Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca kemalangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2157
Kongsi :
Previous post Sulaiman, delegasi Melaka hadir Majlis Ramah Tamah Walikota Dumai
Next post Tiga saudara lemas selepas berkelah di Sungai Lata Changkah
Ubah saiz-+=