Pemasangan EWS diutamakan di kawasan berisiko tinggi bencana geologi – Takiyuddin

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

YAN, 26 Jun – Kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi berlaku bencana geologi aliran puing akan diberi keutamaan untuk dibangunkan Sistem Amaran Awal Bencana Geologi Aliran atau Early Warning System (EWS) sebagai persediaan menghadapi bencana itu.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia mempunyai maklumat berkenaan lokasi berisiko terbabit namun ia tidak boleh didedahkan buat masa ini.

“Mungkin ada satu kawasan itu yang pada pandangan pakar kita, ada risiko dan perlu diberi keutamaan. Kita tidak boleh tunggu sehingga kejadian bencana berlaku baru nak ambil tindakan.

“Macam di Sabah selalu berlaku, mungkin kita kena tengoklah nanti. Saya sudah pergi ke Sabah dan tengok risiko-risiko (di kawasan tertentu di sana),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program kesedaran EWS Bencana Geologi Aliran Puing bersama Komuniti Jerai Geopark di sini hari ini.

Beliau berkata EWS yang dipasang Titi Hayun di sini ekoran bencana geologi aliran puing pada Ogos tahun lepas, merupakan projek rintis yang akan dijadikan sebagai penanda aras dan model nasional dalam pengurangan risiko bencana geologi aliran puing.

Katanya, sistem tersebut yang ketika ini sudah beroperasi akan dipasang di lokasi lain berdasarkan perancangan yang sedang dirangka kementerian dan JMG.

Selain itu, Takiyuddin berkata JMG juga akan mengenal pasti pembangunan-pembangunan baharu termasuk projek infrastruktur di kawasan berisiko tinggi yang boleh mengundang kepada kejadian yang tidak diingini.

“(Contohnya) di Sabah…ada pembinaan sebuah jambatan terpaksa diberhentikan, ia dibuat di kawasan yang berisiko tinggi dan tidak boleh diteruskan atas nasihat JMG. Kita tidak mahu selepas 10 tahun projek siap akan berlaku insiden atau bencana,” katanya.

Sistem EWS di Titi Hayun dibangunkan melalui kerjasama pintar antara JMG dan Universiti Teknologi Malaysia serta diintegrasikan dengan Sistem Amaran Awam oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Dalam kejadian pada 18 Ogos tahun lepas, bencana geologi aliran puing di Gunung Jerai telah mengorbankan enam mangsa dan menyebabkan banjir lumpur di beberapa kawasan di sini dan daerah Kuala Muda.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

904
Kongsi :
Previous post Kes ILI dalam negara terkawal, jangkitan biasa – Khairy
Next post Segerakan pembinaan cerun baharu di Taman Setia Jaya, Bukit Baru
Ubah saiz-+=