Pembinaan KLIP RM15 bilion dimulakan suku pertama 2021

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat
Pengarah Urusan KLIP, Datuk Seri Noor Mustafa Kamal Yahya. (Foto Din Ahmad)

KUALA LINGGI 30 Julai – Pengarah Urusan Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP), Datuk Seri Noor Mustafa Kamal Yahya yakin kerja pembinaan pelabuhan bernilai RM15 bilion itu akan dimulakan pada suku pertama 2021.

Projek berkenaan akan mengambil tempoh antara lima hingga lapan tahun bagi menambak laut seluas kira-kira 248 hektar sebelum dimajukan dengan pelbagai kemudahan berkaitan pelabuhan yang memberikan perkhidmatan kepada kapal antarabangsa.

Pengarah Urusan KLIP, Datuk Seri Noor Mustafa Kamal Yahya berkata, setakat ini syarikat berkenaan masih dalam peringkat menyelesaikan beberapa aspek berkaitan kelulusan projek dan dijangka selesai tidak lama lagi.

Katanya, kerja menambak laut kira-kira lima batu nautika dari tanah besar akan dilaksanakan Linggi Base Sdn Bhd (LBSB), selain membina tangki simpanan cecair, limbungan pembaikan kapal, limbungan fabrikasi komponen minyak dan gas serta dermaga untuk fasiliti himpitan kapal.

“Syarikat kami yang sedia ada, TAG Marine Sdn Bhd di Kuala Linggi berpengalaman luas dalam memberikan perkhidmatan kepada 8,000 kapal yang berlabuh di persisiran pantai sepanjang 16 tahun dan sekarang kami akan membina pelabuhan bertaraf antarabangsa yang bakal memajukan ekonomi Kuala Linggi dan Melaka secara keluruhannya.

“Berdasarkan kajian perunding projek itu dari Rotterdam, Belanda, pembinaan KLIP menyediakan pekerjaan kepada 115,000 pekerja, termasuk penduduk tempatan dan apabila siap, ia menyediakan pekerjaan kepada 6,000 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan kepada 185 nelayan Kuala Linggi di Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Kuala Linggi, dekat sini baru-baru ini.

Jelas, Noor Mustafa apabila pelabuhan itu beroperasi sepenuhnya, 60 peratus daripada 6,000 pekerja terbabit adalah yang berkemahiran tinggi, selain kejuruteraan teknikal (30 peratus) dan pengurusan (10 peratus).

“Ia mewujudkan peluang perniagaan baharu kepada usahawan tempatan, selain menjadi antara penyumbang utama kepada ekonomi negeri dan negara melalui sektor pembekalan, perkhidmatan pelabuhan dan marin, pengurusan kapal dan perundangan serta cukai,” katanya.

Beliau berkata, walaupun projek berkenaan adalah pelaburan langsung domestik, ia tetap memberikan pulangan kepada ekonomi negara kerana setiap sen pulangan yang diperoleh, dibelanjakan semula dalam negara.

Katanya, projek berkenaan bukan setakat membawa kemajuan di sekitar Kuala Linggi, malah kawasan seluas 50 kilometer di sekitarnya.

Views:

438
Kongsi :
Previous post Malaysia-Singapura sepakat sambung projek RTS, simboliknya di Tambak Johor
Next post PKPP: Polis pantau pematuhan SOP semasa Aidiladha
Ubah saiz-+=