Malaysia-Singapura sepakat sambung projek RTS, simboliknya di Tambak Johor

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

JOHOR BAHRU, 30 Julai – Segalanya berjalan lancar, dengan kedua-dua pihak Malaysia dan Singapura nampak ceria, semasa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong, tersenyum lebar dan bertegur sapa di tengah-tengah Tambak Johor awal pagi ini, sebagai simbolik kesepakatan untuk menyambung semula projek Sistem Transit Rapid (RTS).

Walaupun kedua-dua pemimpin memakai pelitup muka disebabkan pandemik COVID-19, suasana pertemuan antara kedua-dua pemimpin jelas baik, semasa mereka berbual mesra, di majlis yang cukup bersejarah bagi kedua-dua negara Malaysia dan Singapura.

“Terima kasih kerana menyelesaikan urusan perjanjian (RTS) dengan kami,” kata Lee kepada Muhyiddin, yang kemudiannya menjawab “Terima kasih kerana bekerja keras”.

Seterusnya Lee berkata projek itu akan bermula, dan disiapkan dalam tempoh enam tahun.

“Insya Allah,” jawab Muhyiddin.

Kedua-dua pemimpin yang sedang berkerja keras menghadapi cabaran dalam mengawal COVID-19 di negara masing-masing, turut meluangkan masa untuk berbual mengenai keadaan semasa, khususnya berkaitan penularan di kedua-dua negara.

“Saya harap lain kali saya boleh menyeberang garisan ini (sambil menunjukkan garisan kuning yang memisahkan tempat mereka berdiri) tanpa dikuarantin,” katanya kepada Lee, yang mencetuskan gelak ketawa kedua-dua pemimpin itu.

Kedua-dua mereka, berserta menteri kabinet yang lain dilihat sepakat mengenakan baju batik di majlis pagi ini.

Muhyiddin dan Lee berbual selama kira-kira 15 minit dalam pertamuan itu, yang boleh dianggap cukup bersejarah dan simbolik, memandangkan ia merupakan perjumpaan kali pertama dua pemimpin di atas Tambak Johor, yang digunakan oleh lebih 350,000 pengguna setiap hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa pada 18 Mac.

Ia juga merupakan perjumpaan secara bersemuka buat kali pertama sejak Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri kelapan pada 1 Mac, manakala Lee sendiri baru sahaja mengangkat sumpah bagi menyambung tugas sebagai perdana menteri pada 27 Julai susulan kemenangan parti yang dipimpinnya Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada pilihan raya baru-baru ini.

Selepas tiga penangguhan, Malaysia dan Singapura akhirnya bersetuju untuk meneruskan pelaksanaan projek RTS.

RTS, yang merupakan alternatif bagi mengurangkan kesesakan di laluan berkenaan (Tambak Johor), merangkumi pembinaan laluan sepanjang empat kilometer menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru (ibu negeri Johor) dan Woodlands di Singapura.

Projek RTS telah melalui siri perbincangan panjang lebar di bawah kepimpinan tiga perdana menteri Malaysia, dan dijangka menelan belanja kira-kira US$872.14 juta (RM3.7 bilion, US$1 = RM4.24) di pihak Malaysia, dengan spesifikasi yang dipersetujui kedua-dua negara.

Projek yang merangkumi dua fasa dengan kos keseluruhan kira-kira RM10 bilion, dijangka bermula 2021, dan akan disiapkan hujung 2026.- BERNAMA

 

Views:

639
Kongsi :
Previous post Lapan ‘lubuk’ makan tengah hari ‘termarvellous’ di Melaka
Next post Pembinaan KLIP RM15 bilion dimulakan suku pertama 2021
Ubah saiz-+=