Sorting by

×

Lapan ‘lubuk’ makan tengah hari ‘termarvellous’ di Melaka

Masa Membaca:3 Minit, 37 Saat

BUKAN susah kalau nak cari makanan yang sedap-sedap bila anda berada di bumi bersejarah, Melaka.

Tanyalah sesiapa sahaja, pastinya banyak gerai atau tempat makan yang boleh dicadangkan apabila anda datang ke sini.

Dari pagi hingga ke malam ada pelbagai jenis makanan yang boleh anda cuba.

Namun, untuk entri kali ini Melaka Hari Ini memilih lapan (8) tempat makan tengah hari yang wajib anda rasa.

Jom, kita try!

RESTORAN Lot Lapan Lima

1. Restoran Lot Lapan Lima

Boleh dikatakan antara kedai ‘legend’ di kalangan rakyat Melaka. Restoran ini terletak di Jalan Durian Daun dan berdekatan dengan Maktab Perguruan Perempuan Melaka.

Antara menu paling popular di sini ialah nasi beriyani dan asam pedas tetel. Selain itu, ia juga menyajikan pelbagai jenis masakan setiap hari.

Ia dibuka dari jam 9 pagi hingga 5 petang, namun ditutup setiap Ahad.

ASAM Pedas Pak Man

2. Asam Pedas Pak Man

Kalau datang ke Melaka tak sah kalau tak pekena asam pedas. Dengan pelbagai variasi asam pedasnya, gerai ini pastinya akan menepati selera anda.

Antara yang wajib anda cuba jika ke sini ialah asam pedas kambingnya. Memang terangkat! Selain itu, ada pelbagai lagi menu lain turut disajikan di sini.

Jika anda keluar dari susur Ayer Keroh, kedai ini tidaklah jauh untuk anda singgah kerana ia hanya terletak di Kompleks Niaga Melaka Perdana, Bukit Katil.

ASAM Pedas Selera Kampung

3. Asam Pedas Selera Kampung

Satu lagi gerai asam pedas yang wajib anda rasa, terutama jika anda ‘check in’ di Banda Hilir.

Di sini, anda boleh memilih seleksi ikan-ikan yang ada suka untuk dimasak asam pedas. Antara ikan yang boleh anda pilih ialah seperti ikan pari, ikan kembung, ikan merah dan macam-macam lagi.

Kedai yang terletak di Mahkota Square ini dibuka dari tujuh pagi hingga enam petang.

NASI Ayam Hijrah Sari

4. Nasi Ayam Hijrah Sari

Kalau ada jenis yang menyukai makanan tengah hari yang ‘simple’, Nasi Ayam Hijrah Sari adalah tempat yang perlu ada cuba.

Kedai yang terletak di Sungai Udang ini menyajikan nasi ayam hailam dengan rasa yang unik dan sedap.

Ia dibuka dari jam 10 pagi hingga 3 petang dan kalau boleh, datanglah awal ke sini kerana pada waktu puncak, kedai ini sentiasa ‘full house’!

 

MANGO Float Royale

5. Mango Float Royale

Bila tekak terasa dahaga dalam cuaca panas, apa kata anda singgah ke Mango Float Royale yang terletak di Sungai Putat.

Sesuai dengan namanya, sudah tentulah ‘specialty’ kedai ini ialah air minuman mangga segar yang dicampurkan dengan aiskrim vanila dan ketulan mangga di atasnya.

Namun, jangan ingat hanya ada air sahaja, gerai ini turut menyediakan pelbagai jenis makanan tengah hari yang boleh anda cuba seperti mee kari, nasi ayam penyet dan bermacam-macam lagi.

SALAI Dapur Kayu

6. Salai Dapur Kayu

Tekak terasa nak makan masakan orang Nogori? Apa kata anda datang ke Salai Dapur Kayu.

Uniknya, gerai ini menyediakan pelbagai jenis masakan salai seperti gulai lemak cili padi itik salai, ayam kampung salai dan keli salai.

Gerai ini terletak di Bachang iaitu betul-betul di persimpangan lampu isyarat simpang empat ke arah Bachang dari KipMart.

JONKER 88

7. Jonker 88

Bagi yang ingin mencuba masakan baba dan nyonya, apa kata singgah ke Jonker 88 yang terletak di Jonker Walk.

Walaupun cafe ini cukup popular dengan cendolnya, namun, bagi yang datang ke sini tidak lengkap jika tidak mencuba Nyonya Asam Laksa dan Baba Laksa yang juga menjadi menu istimewanya.

Dengan kuah laksa yang pekat dan rasanya yang enak, pasti ia akan membuatkan anda terigau-igau. Jangan risau, makanan di sini adalah halal.

WARUNG Pak Enal

8. Warung Pak Enal

Teringin nak rasa masakan kampung, Warung Pak Enal adalah lokasi yang wajib anda singgah.

Di sini terdapat pelbagai jenis masakan kampung disediakan, daripada aneka gulai hinggalah ke ayam goreng berempah, paru goreng dan pelbagai jenis ulam-ulaman boleh anda nikmati di sini.

Boleh dikatakan warung yang terletak berhampiran bulatan antara Bukit Katil ke Duyong ini sentiasa menjadi persinggahan buat pelancong-pelancong yang datang ke Melaka.

Views:

34151
Kongsi :
Previous post Pelan infrastruktur digital akan dibangunkan secara menyeluruh
Next post Malaysia-Singapura sepakat sambung projek RTS, simboliknya di Tambak Johor
Ubah saiz-+=