Sorting by

×

PEMUDA MUALAF TERUJA PERTAMA KALI SERTAI IBADAH KORBAN

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

KESIDANG 29 Mei – Peluang membantu menguruskan daging korban buat kali pertama menjadi pengalaman amat bermakna bagi seorang pemuda yang baru memeluk Islam pada pertengahan Mac lalu.

Ahmad Zaimizam Kamil, 21, berkata, pertama kali merasai suasana korban dalam komuniti mualaf yang terdiri daripada pelbagai bangsa membuatkan dirinya tersentuh.

Menurutnya, pengalaman bergotong-royong melapah dan menguruskan daging korban bukan sahaja mengajar semangat kerjasama malah membuka ruang untuknya memahami erti pengorbanan serta berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan.

“Mujurlah saya tidak menolak ajakan persatuan untuk menjadi sukarelawan pada program korban ini kerana ia suatu pengalaman amat bermakna.

“Mungkin sebelum ini saya tidak tahu atau faham apa itu Hari Raya Aidiladha atau korban tetapi hari ini saya belajar sesuatu. Sejujurnya saya rasa bertuah kerana tidak semua orang mendapat peluang seperti ini.

“Banyak perkara saya belajar hari ini terutama mengenai semangat bantu-membantu, kesepakatan dan ukhwah dalam Islam malah menariknya ia mengajar berkongsi rezeki sesama insan,” katanya.

Anak kelahiran Ranau, Sabah itu berkata demikian ketika ditemui pada Program Kasih Qurban Perdana Bersama Mualaf Negeri Melaka Tahun 2026 yang turut dihadiri Pengurus Baitulmal Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Mohd Hairulamin Mohd Sis dan Penolong Setiausaha Bahagian Balai Islam MAIM Nasir Wahab, semalam.

Menurut pekerja kilang itu, program yang dianjurkan MAIM menerusi Balai Islam dan badan bukan kerajaan (NGO) itu secara tidak langsung dapat membantu komuniti mualaf khususnya terlibat sama dalam program ibadah korban.

“Insya-Allah sekiranya diberi peluang lagi pada tahun hadapan saya akan turut serta selain ini dapat mengeratkan lagi ukhwah,” katanya.

Sementara itu Ahmad Zaimizam berkata, dia masih dalam proses menyesuaikan diri sebagai seorang muslim dan berazam untuk terus mendalami ilmu agama secara berperingkat.

“Saya masih belajar untuk menjadi muslim yang lebih baik dan selepas ini selain akan mengikuti kelas di Balai Islam bagi mendalami ajaran Islam dengan lebih sempurna,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

934
Kongsi :
Previous post LELAKI MAUT DITANDUK KERBAU SEMASA IBADAH KORBAN DI KAMPUNG TENANG
Next post TAYAR TERPAKAI JADI PENYERI HALAMAN