
TAYAR TERPAKAI JADI PENYERI HALAMAN
DURIAN TUNGGAL 29 Mei – Kreativiti mengolah tayar terpakai menjadi pelbagai produk hiasan membawa tuah buat seorang pengusaha apabila perniagaan kecil-kecilan yang diusahakan tiga tahun lalu kini semakin berkembang dan mendapat sambutan pelanggan.
Mengimbau kembali awal pembabitannya dalam perusahaan itu, Muhammad Akhmal Adib, 36, berkata, dia tidak pernah menyangka barangan dihasilkan daripada tayar terpakai mampu mendapat sambutan pelanggan kerana pada peringkat awal, untuk menjual 10 pasu bunga yang dihasilkan juga amat sukar.
Menurutnya, dia mengambil masa kira-kira dua tahun untuk mendapat kepercayaan pelanggan dan mengembangkan perusahaan itu apabila bermula dengan hanya menghasilkan pasu bunga kini mempunyai lebih 30 produk.
“Untuk sampai ke tahap ini ada cabarannya malah jatuh dan turun itu pasti ada tetapi saya percaya akan rezeki Allah disebabkan itu apa yang tidak enak diperkatakan segelintir orang saya abaikan.
“Berkat kesabaran, kini saya mampu memiliki sebuah bengkel dan mempunyai dua pekerja berbanding dulu semuanya dibuat sendiri oleh saya dengan menjadi bahagian tepi rumah lokasi tempat bekerja,” katanya ketika ditemui di bengkelnya di Kampung Pulau, baru-baru ini.
Menurut bapa kepada dua anak itu, dia amat lega apabila hasil air tangannya bukan sahaja dapat memikat pelanggan malah turut mendapat sokongan bantuan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menerusi Program Tunas Perintis Usahawan MAIM-SME Corp.
“Daripada bantuan ini, saya gunakan untuk membuat bengkel bagi memudahkan operasi harian menghasilkan produk selain ia lebih selesa.
“Dengan bantuan diterima ini juga ia secara tidak langsung memberi semangat untuk saya terus serius dalam bidang ini selain kami juga ada menerima kunjungan daripada Lembaga Getah Malaysia (LGM) Negeri Melaka,” katanya.
Menurut Muhammad Akhmal, sepanjang terlibat sebagai pengusaha kraftangan berasaskan tayar terpakai ini hampir 200,000 tayar sudah diolah dan dijadikan produk jualan.
“Selain pasu bunga antara produk yang mendapat sambutan adalah hiasan burung menggunakan tayar motosikal, begitu juga set untuk taman permainan kanak-kanak seperti kuda dan jongkang-jongkit.
“Boleh katakan semasa musim raya permintaan agak tinggi kerana ramai. ingin hias rumah misalnya untuk pasu saiz kecil saya perlu siapkan 2,000 biji selain itu papan tanda dan set kerusi sandar turut menerima tempahan,” katanya.
Jelas pemilik Deko Tayar Melaka itu, dia amat berharap agar produk yang diperbuat daripada tayar terpakai ini dapat diiktiraf selain sekurang-kurangnya setiap satu rumah akan mempunyai satu produk.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


