Penantian sekolah menengah pertama Duyong

Masa Membaca:3 Minit, 42 Saat

DUYONG 15 Disember – Penantian warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong untuk mempunyai sekolah menengah pertama di kawasan itu dijangka akan direalisasikan tidak lama lagi.

Ia selepas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Duyong yang sedang dibina kini sudah mencapai kemajuan 85 peratus.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, sebelum ini anak-anak Duyong terpaksa berkongsi sekolah dengan pelajar dari DUN bersebelahan disebabkan sekolah menengah yang ada hanya terletak di sempadan Duyong.

Oleh itu, pembinaan sekolah berkenaan amat penting bagi memberikan keselesaan kepada warga Duyong dalam aspek pendidikan.

SEGERAKAN KERJA-KERJA AKHIR

Menurut Mohd Noor Helmy, sekolah tersebut dijangka akan beroperasi pada tahun depan, namun pihaknya difahamkan bakal berlaku sedikit kelewatan daripada kontraktor terlibat.

Beliau berkata, mengikut jadual asal, sekolah berkenaan sepatutnya beroperasi pada Mac tahun depan, namun pihak kontraktor memohon lanjutan masa kepada Jun 2023.

2
SMK Seri Duyong bakal menjadi sekolah menengah pertama yang dibangunkan dalam kawasan DUN Duyong. Facebook Mohd Noor Helmy

“Kita faham lanjutan itu bukan satu isu besar kerana ia membabitkan lanjutan masa beberapa proses seperti tender pembekalan dan sebagainya.

“Tapi kita bimbang kelewatan itu berjangkit kepada perkara-perkara lain sedangkan bangunannya sudah siap, cuma ia hanya membabitkan isu pembayaran dan lain-lain selepas pertukaran kerajaan.

“Apapun, kita di pihak Japerun akan terus mendesak agar pembinaan fasa akhir ini disegerakan kerana kita tidak mahu gangguan itu menjadi penghalang yang akan memberi kesan kepada warga Duyong itu sendiri,” katanya.

Tambahnya, selain sekolah menengah, pihaknya juga kini sedang menunggu status permohonan pembinaan sekolah rendah baharu iaitu Sekolah Kebangsaan Seri Duyong 2 yang telah dibentangkan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Pada masa sama, pihaknya juga akan memperjuangkan pembinaan Tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di Kampung Permatang Duyong dalam memperkasa pendidikan awal kanak-kanak di kawasan itu.

PERJUANG HAK RAKYAT

Mohd Noor Helmy berkata, pihaknya juga kini memberi tumpuan kepada kerja-kerja pembaikan jalan persekutuan di DUN Duyong yang tidak lagi selamat.

4
CAKNA dengan masalah rakyat di Duyong. Foto: Facebook Mohd Noor Helmy

Katanya, keadaan jalan yang tidak diselenggara itu telah menimbulkan kebimbangan dan kemarahan penduduk yang merasakan tidak lagi selamat apabila melalui beberapa jalan di kawasan itu.

“Kita faham kenapa orang ramai marah dengan jalan yang terlibat dan di pihak Japerun kita juga sudah mohon kerja pembaikan itu disegerakan.

“Namun, malangnya kita sering menerima alasan yang sama berulang-ulang kali mengatakan berlaku kekangan kewangan.

“Walau apa jawapan sekalipun, kita tidak akan berhenti setakat ini dan saya akan terus memperjuang serta mempertahankan hak keperluan rakyat di kawasan ini,” katanya.

JANGAN TANGGUH RTB SUNGAI DUYONG

Dalam pada itu, mengulas mengenai kemungkinan beberapa projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dibatalkan susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini, Mohd Noor Helmy berharap ia tidak terjadi di RTB Sungai Duyong.

Katanya, projek RTB berkenaan sudah mencapai kemajuan 11 peratus pada ketika ini dan sudah berjaya memberi impak positif dalam mengatasi masalah banjir di beberapa kawasan.

3
MOHD Noor Helmy mengiringi Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali ketika merasmikan Sekolah Rendah Agama JAIM Seri Duyong. Foto Iqmal Haqim Rosman

Justeru katanya, jika projek itu ditangguhkan disebabkan isu pengurusan terdahulu, ia dikhuatiri akan menyebabkan rakyat terima akibat.

“Kita faham ia membabitkan isu perolehan dan kita sendiri tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya. Tapi kalau boleh saya minta biarlah projek itu (RTB Sungai Duyong) terus berjalan.

“Kalau lagi lama menunggu, kita risau yang terkesan ialah rakyat, yang menanggung banjir ialah rakyat sedangkan kepimpinan berbalah dan kesilapan datang dari pengurusan terdahulu.

“Jadi, saya mohon Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bertindak bijaksana dalam hal ini. Jangan disebabkan terlalu menyemak atau menilai semula, kesan lain yang berantai diterima rakyat,” ujarnya.

BIODATA:

5
MOHD NOOR HELMY

Nama: Mohd Noor Helmy Abdul Halem

Umur: 41

Karier:-
– Ahli Dewan Undangan Negeri Duyong (2021 – kini)
– Ahli Majlis MBMB
– Ahli Perniagaan

Politik:-
– Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Melaka

Pendidikan:-
– Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Awam

 

INFO DUN DUYONG:

Penduduk: 36000 orang

Kampung: 16
Taman perumahan: 31
Rumah pangsa: 4

Rumah ibadat:-
Masjid: 4
Surau: 24
Tokong: 5

Sekolah:-
Sekolah rendah: 5
SJK (C): 3
SRA (Jaim): 4
Sekolah menengah: 2
Kolej Tingkatan 6: 1
Sekolah pendidikan khas: 1

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5427
Kongsi :
Previous post Daftar pemilih tambahan Oktober 2022 dibuka untuk semakan – SPR
Next post Empat Adun tidak hadir hari terakhir Sidang DUN – Speaker
Ubah saiz-+=