WhatsApp Image 2021-12-08 at 4.04.18 PM

Penduduk Krubong diminta bantu cegah denggi

PAYA RUMPUT 8 Dis – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin meminta gotong royong secara berkala dijalankan dalam tempoh terdekat di kawasan yang dilaporkan berlakunya kes denggi.

Beliau berkata, setakat ini dua kes dilaporkan di Kampung Tampoi Krubong, sejak minggu lalu.

“Disebabkan wabak ini boleh mengakibatkan maut, saya berharap penduduk dapat bekerjasama dengan pejabat kesihatan untuk memastikan kawasan ini bebas denggi.

“Kesedaran penduduk juga penting bagi memastikan kediaman mereka bersih dan bebas daripada tempat pembiakan Aedes terutamanya di kawasan sering berlakunya banjir,” katanya ketika dihubungi

Beliau yang juga Exco Pendidikan dan Teknologi negeri sebelum itu melawat kawasan yang mencatatkan kes denggi di Kampung Tampoi Krubong dan hadir sama Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Melaka Tengah, Dr Khairul Anuar Abdullah.

Menurut Rais selain operasi yang dijalankan oleh pejabat kesihatan daerah, beliau amat berharap penduduk dapat menjadi mata telinga kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) sekiranya berlakunya kes denggi.

Penduduk, Azlina Abd Khalid, 38, berkata, dia langsung tidak menyangka anak lelakinya berusia empat tahun disahkan dijangkiti demam denggi selepas menjalani ujian darah.

Katanya, dia langsung tidak menyangka kerana sepanjang 30 tahun tinggal di situ tiada kes denggi dilaporkan.

“Anak sebelum ini mengalami demam berpanjangan serta cirit birit sebelum dibawa ke klinik untuk pemeriksaan lanjut.

“Memang sangka demam biasa namun walaupun diberi ubat demam dia masih tidak sihat, rupanya dijangkiti demam denggi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

66
yasin Previous post Toh Puan Asmah, Datin Seri Munira hadir bacaan Yasin dan tahlil
Trafik Next post PDRM tawar diskaun 80 peratus saman trafik