Penganggur tikam bekas abang ipar direman tujuh hari

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 14 Mei – Penganggur yang dipercayai menikam bekas abang iparnya hingga mati dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Berangan Enam, Umbai pagi 1 Syawal semalam direman tujuh hari bermula hari ini.

Perintah reman terhadap suspek dikeluarkan Majistret Lee Kim Keat di Mahkamah Ayer Keroh bagi membolehkan polis membuat siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman dalam satu kenyataan berkata, suspek berusia 32 tahun itu ditahan di hadapan sebuah masjid di Kampung Kandang kira-kira 10 kilometer dari tempat kejadian pada jam 6.30 petang semalam.

“Suspek cuba melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal sebelum berjaya dicekup sepasukan polis daripada Siasatan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin.

“Semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah selain ujian saringan air kencing terhadapnya juga disahkan positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi semalam, suspek datang ke rumah bekas mentuanya dalam keadaan marah untuk mengambil anak perempuan berusia 7 dan 10 tahun daripada bekas isteri.

Suspek dikatakan mengamuk dan cuba ditenangkan mangsa yang berusia 36 tahun sebelum suspek bertindak luar kawalan lalu menikam mangsa di bahagian rusuk kanan menggunakan pisau.

Mangsa yang cedera parah kemudian disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1084
Kongsi :
Previous post COVID-19: Varian ganas ancam cetus ‘tsunami’ kes harian baharu
Next post Atlet memanah negara meninggal dunia
Ubah saiz-+=