COVID-19: Varian ganas ancam cetus ‘tsunami’ kes harian baharu

Masa Membaca:2 Minit, 47 Saat

KUALA LUMPUR 14 Mei – Malaysia kini bukan sahaja berhadapan dengan ledakan kes harian baharu COVID-19 tetapi juga perlu ‘berperang’ dengan varian koronavirus yang lebih ganas dan mampu mencetuskan kadar jangkitan serta kematian yang lebih tinggi.

Malah kadar kes harian baharu dijangkakan boleh mencecah sehingga lima angka dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini memberitahu sidang media, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang berusaha mengawal penularan kes membabitkan varian dari United Kingdom, Afrika Selatan, Brazil dan India.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menetapkan empat varian berkenaan sebagai ‘varian yang membimbangkan’ (VOC) di peringkat global.

Menurut Dr Noor Hisham, varian yang paling banyak dikesan di negara ini adalah varian dari Afrika Selatan (varian South African B.1.351.) dan kes COVID-19 daripada jangkitan varian berkenaan dikesan menular di beberapa negeri iaitu Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan dan Perak.

Sehingga kini, sebanyak 62 kes positif COVID-19 dikesan melibatkan varian South African B.1.351. sementara varian dari India (B.1.617) yang dikesan setakat ini melibatkan dua kes (B.1.617.1 dan B.1.617.2) dan seorang daripadanya sudah meninggal dunia.

Menurut penjelasan Dr Noor Hisham, kes B.1.617.2, melibatkan bukan warganegara tiba di Malaysia pada 7 April 2021 dan kedua-dua ujian COVID-19 (pada 7 April dan 12 April) didapati negatif. Beliau dilaporkan positif pada 21 April dan meninggal dunia pada 1 Mei 2021.

Mengenai varian Brazil, beliau berkata, KKM setakat ini masih belum mengesan kes COVID-19 jangkitan varian berkenaan.

Untuk rekod, pada 11 Januari 2021, KKM memaklumkan pihaknya mengesan satu kes COVID-19 varian UK B.1.1.7 melibatkan pengembara dari Malaysia yang mempunyai sejarah perjalanan ke United Kingdom pada bulan Disember 2020. Pengembara itu didapati positif

Malaysia sebelum ini menyekat kemasukan pengembara dari Nepal, Bangladesh, Sri Lanka dan Pakistan, sebagai susulan tambahan sekatan penerbangan dari dan ke India, berikutan kebimbangan penularan COVID-19.

Dr Noor Hisham turut menekankan bahawa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dikuatkuasakan dari 12 Mei hingga 7 Jun depan adalah antara usaha untuk mengekang penularan varian baharu yang mempunyai kadar kebolehjangkitan dan kematian yang tinggi.

Malahan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Sempena Hari Raya Aidilfitri, yang turut menyentuh perkembangan mutakhir penularan COVID-19 menyebut “Malaysia kini berada pada titik genting” dan penularan varian baharu harus disekat. Dijangkakan jumlah kes harian akan mencecah lima angka dalam tempoh beberapa minggu akan datang.”

Menurut Perdana Menteri lagi, hampir semua kawasan di negara ini bertukar menjadi “merah” dengan hampir kira-kira 70 peratus kes jangkitan berlaku secara sporadik (penularan dalam komuniti) dan hampir 80 peratus kes positif dikesan tidak mempunyai sebarang gejala.

Sepanjang tempoh 8 Mei hingga 13 Mei 2021, Malaysia merekod lonjakan kes harian baharu COVID-19 Malaysia melebihi tiga ribu dan menghampiri lima ribu kes di samping kes kematian yang tinggi.

Sehingga pukul 12 tengah hari semalam (Khamis 13 Mei 2021), Malaysia merekod sebanyak 4,855 kes harian baharu COVID-19, iaitu tertinggi sepanjang tempoh rangkuman ini.

Terdapat dua hari kes harian mencatat sekitar empat ribu iaitu pada Sabtu 8 Mei (4,519 kes) dan Rabu 12 Mei (4,765 kes).

Kes aktif dengan kebolehjangkitan yang dicatat semalam melonjak kepada 41,582 kes, sementara kes kumulatif pula sudah sebanyak 458,077 kes.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

311
Kongsi :
Previous post ‘Kompaun raya’ RM60,000
Next post Penganggur tikam bekas abang ipar direman tujuh hari
Ubah saiz-+=