Pengerusi baharu FINAS, MCMC akan diumum dalam tempoh seminggu – Fahmi

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

KUALA LUMPUR, 23 Feb – Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang baharu akan diumumkan dalam tempoh seminggu, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata surat pelantikan bagi jawatan Pengerusi Finas telah ditandatangani dan proses pelantikan itu sedang dipercepatkan.

“Penting bagi Finas ada pengerusi bagi (mengetuai) Skim Jawatankuasa Wajib Tayang, jadi perlu dipercepatkan (pelantikan pengerusi).

“Pada masa sama, pengerusi MCMC akan diumumkan menjelang 1 Mac ini. Pengerusi interimnya memaklumkan ada beberapa perkara teknikal perlu diselesaikan, maka pengerusi perlu diumumkan dalam tempoh terdekat,” katanya pada sidang media di Pusat Media Parlimen, di sini hari ini.

Terdahulu, Fahmi bersama timbalannya Teo Nie Ching meninjau operasi Pusat Media Parlimen selain beramah mesra dengan petugas media.

Fahmi berkata bagi memudahkan liputan media di Dewan Rakyat, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dengan kerjasama pihak pentabiran Parlimen akan meningatkan mutu liputan Internet serta menyediakan keperluan lain bagi petugas media.

“Selain itu, aduan mengenai harga makanan di Parlimen yang agak mahal, saya akan cadangan kepada pihak berkaitan untuk kita perluaskan inisiatif Menu Rahmah di Parlimen.

“Parlimen ini juga tempat rakyat datang, jadi jika harga (makanan) tak mesra rakyat, ia akan memberi kesan…saya teliti supaya Menu Rahmah diperluaskan di sini, walaupun bukan bidang kuasa saya, tapi ada kewajaran untuk diadakan,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

657
Kongsi :
Previous post Remaja 15 tahun mengaku rogol adik kandung sehingga lahirkan anak
Next post Empat sekeluarga nyaris maut dalam kemalangan
Ubah saiz-+=