Remaja 15 tahun mengaku rogol adik kandung sehingga lahirkan anak

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

JELEBU, 23 Feb – Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan merogol adik kandungnya sehingga melahirkan anak.

Tertuduh membuat pengakuan bagi dua pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Norshazwani Ishak secara tertutup.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh melakukan persetubuhan dengan adik kandungnya berusia 14 tahun di sebuah rumah di Palong antara 21 Jun 2022 hingga 30 Jun 2022 sekitar 11 malam hingga 12 tengah malam yang perhubungan tersebut tidak dibenarkan di bawah undang-undang atau hukum agama yang terpakai kepada tertuduh untuk berkahwin dengan mangsa.

Bagi pertuduhan kedua, remaja tersebut melakukan perkara yang sama pada 1 Sept 2022 hingga 10 Sept 2022 sekitar 11 malam hingga 12 tengah malam bersama mangsa di lokasi yang sama.

Kesalahan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan dan berdepan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun dan hendaklah juga dihukum dengan sebatan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Muhammad Nizam Rafii dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan wang jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan sehingga kes selesai. Remaja itu juga perlu tinggal berasingan dengan mangsa dan dilarang menghubungi dan mendekati mangsa.

Sebutan semula kes pada 22 Mac ini bagi laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Mengikut fakta kes, pada 16 Feb lepas sekitar 6.08 pagi, pengadu yang merupakan seorang doktor dan petugas Klinik Kesihatan memaklumkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun telah bersalin di sebuah rumah di Felda Palong, Gemas.

Pegawai perubatan ke rumah tersebut mendapati mangsa berada di atas katil di ruang tamu bersama seorang bayi lelaki cukup sifat dalam keadaan uri masih bersambung.

Mangsa dan bayi kemudian dirujuk ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah untuk tindakan lanjut.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1865
Kongsi :
Previous post Tentera Darat tumpas sindiket seludup daun ketum
Next post Pengerusi baharu FINAS, MCMC akan diumum dalam tempoh seminggu – Fahmi
Ubah saiz-+=