Tentera Darat tumpas sindiket seludup daun ketum

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

ALOR SETAR, 23 Feb – Tentera Darat berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan daun ketum dengan rampasan kira-kira satu tan bahan itu bernilai RM38,000, di kawasan Kuala Nerang dekat Padang Terap semalam.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pasukan anggotanya yang sedang menjalankan kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux bernombor pendaftaran Thailand pada 12.30 tengah hari.

Kenderaan yang dipercayai membawa daun ketum untuk diseludup keluar itu memecut apabila menyedari kehadiran pasukan berkenaan dan ia dikejar Kumpulan Ronda Bermotosikal Tentera Darat.

“Namun, kenderaan yang dipandu dalam keadaan laju dan berbahaya itu telah terbabas ke dalam longkang di kawasan Kampung Sungai Kecil.

“Kemalangan itu telah menyebabkan dua suspek lelaki warga tempatan di dalam kenderaan berkenaan mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Kes tersebut diserahkan kepada Balai Polis Kuala Nerang untuk tindakan lanjut dan kedua-dua lelaki itu yang berumur 29 dan 31 tahun direman empat hari bermula hari ini.

“Tentera Darat akan terus komited untuk memastikan keselamatan di sempadan negara dengan tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan,” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1950
Kongsi :
Previous post Penunggang motosikal maut ke tempat kerja, pemandu lori ditahan
Next post Remaja 15 tahun mengaku rogol adik kandung sehingga lahirkan anak
Ubah saiz-+=