Pengiktirafan MAPAN tingkat produktiviti penjawat awam

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

BANDA HILIR 21 Mac – Pengiktirafan pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Awam Negeri (MAPAN) perlu dianggap sebagai penyuntik semangat kepada kakitangan awam untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada negeri dan rakyat.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Rosemanizam Mohammed Nalif yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) berkata, penganugerahan itu bukanlah tiket untuk selesa sebaliknya ia menjadi signal untuknya terus menggandakan usaha.

Beliau menerima pengiktirafan itu ketika menjawat jawatan Bekas Ketua Penolong Setiausaha Kanan Kerajaan, Unit Kerajaan Tempatan (UKT), Jabatan Ketua Menteri Melaka tahun lalu.

“Saya mula berkhidmat sebagai kakitangan awam pada tahun 2005 dan telah menerima APC sebanyak tiga kali termasuk di MAPAN.

“Pada saya selepas menjadi penjawat awam, kita kena sentiasa bersedia untuk memberikan perkhidmatan, meskipun di luar waktu pejabat untuk meningkatkan keberkesanan kita bekerja,” katanya kepada Melaka hari ini selepas menerima pengiktirafan itu pada majlis yang diadakan, di sebuah hotel, di sini semalam.

Seorang lagi penerima APC, Muhammad Muhaimin Zainal berkata, anugerah yang diterima itu menguatkan lagi semangatnya lagi untuk bekerja lebih keras pada masa hadapan.

Dia yang merupakan jurufoto Ketua Menteri dan telah berkhidmat hampir 13 tahun sebagai penjawat awam di Negeri Melaka menyifatkan pengiktirafan kali keduanya itu sebagai ganjaran di atas usahanya.

“Sebagai penjawat awam pelbagai cabaran yang ditempuh namun kesukaran tetap ada cuma cara kita mengatasinya yang membezakan kita dengan yang lain.

“Saya menganggap anugerah diterima ini sebagai ganjaran dan rezeki untuk saya dan keluarga untuk memberikan perkhidmatan lebih baik dari sebelum ini sebagai seorang jurufoto dan kakitangan Kerajaan Negeri,” katanya.

Nada sama turut disuarakan penerima Anugerah Khas Perkhidmatan (AKP), Muhammad Khawari Fazmi Zulkefli, 41.

Dia yang merupakan Setiausaha Japerun Paya Rumput, tidak menyangka dicalonkan untuk menerima anugerah tersebut memandangkan masih baharu menjawat jawatan itu pada 2021.

Namun, beliau percaya anugerah itu berkat kerja kerasnya membantu rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput ketika pandemik COVID-19.

“Sebagai Setiausaha Japerun, perkhidmatan yang diberikan menyeluruh kepada rakyat. Bukan sahaja ketika musim pandemik bahkan bencana dan aspek kebajikan juga perlu diberi keutamaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1252
Kongsi :
Previous post Sasar peratusan pelajar B40 Melaka menurun
Next post Selekoh ‘maut’ kini lebih selamat
Ubah saiz-+=