Sorting by

×

Selekoh ‘maut’ kini lebih selamat

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

KUALA LINGGI 21 Mac – Selekoh berbahaya di Kampung Teluk Belanga dilaporkan kerap berlaku kemalangan selesai dinaik taraf hasil inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi, Rosli Abdullah.

Rosli berkata kerja menaik taraf dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) membabitkan aspek seperti pelebaran jalan, membina tembok di bahu jalan dan sistem longkang.

Katanya naik taraf yang siap sepenuhnya hujung tahun lalu memberikan keselesaan kepada pengguna jalan raya berikutan selekoh berkenaan sebelum ini dikatakan agak ‘tajam’.

“Selain itu JKR turut memasang papan tanda bagi mengelakkan pemandu atau penunggang daripada keliru. Semua ini penting kerana jalan berkenaan adalah laluan utama bukan sahaja bagi penduduk sekitar Kuala Linggi sebaliknya pelancong luar datang bercuti di beberapa destinasi popular berhampiran.

“Setakat ini belum ada kemalangan dilaporkan. Jika sebelum ini sekurang-kurangnya 10 kemalangan berlaku di selekoh itu setiap tahun. Semua ini membuktikan naik taraf dilaksanakan berjaya dan berkesan,” katanya.

1
ROSLI menunjukkan keadaan struktur jalan yang selamat dan bahu jalan yang lebih luas diselenggara mengurangkan lengkungan selekoh berbanding sebelum ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Rosli berkata pembangunan rangkaian jalan perhubungan yang berkualiti juga sedang dirancang untuk dilaksanakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Menurutnya contoh projek yang dirancang adalah penyelenggaraan jalan yang menghubungkan Universiti Melaka (Unimel) dan pekan Kuala Sungai Baru.

“Malah beberapa laluan lain juga diberi tumpuan iaitu Jalan Kampung Tengah-Kuala Sungai Baru yang perlu dinaik taraf bagi memastikan kelancaran jaringan perhubungan. Pembangunan perlu kerana Kuala Linggi adalah kawasan pelancongan dan menjadi laluan penghubung bagi pelancong yang datang dari Port Dickson, Negeri Sembilan,” katanya.

Sementara itu Pengarah JKR Melaka, Datuk Ismail Abd Rahman berkata, projek menaik taraf selekoh Kampung Teluk Belanga yang menelan peruntukan RM222,932 itu disiapkan pada 31 Oktober tahun lalu dengan kerja-kerja pembangunan dilaksanakan seawal 8 Ogos 2022.

“Pemantauan berterusan terhadap selekoh yang sering dibangkitkan oleh masyarakat tempatan akan terus dilaksanakan oleh pihak JKR bagi memastikan ianya selamat dan selesa digunakan oleh semua pengguna jalan raya.

“Kerja-kerja yang terlibat adalah seperti kerja penyelenggaraan permukaan jalan dengan memperbaiki ‘super-e’ (super elevation), membaiki bahu jalan, perabot keselamatan jalan raya seperti papan tanda dan lain lain lagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2171
Kongsi :
Previous post Pengiktirafan MAPAN tingkat produktiviti penjawat awam
Next post Lembu betina nyaris lemas dalam kolam ikan
Ubah saiz-+=