Pengusaha bot nelayan laut dalam rayu tangguh pelaksanaan PLKS

KUANTAN, 5 Feb – Pengusaha bot nelayan laut dalam di pantai timur dan Johor merayu kerajaan dapat menangguhkan pelaksanaan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) terhadap nelayan yang menggaji warga asing bagi tempoh sekurang-kurangnya setahun kerana mendakwa kosnya membebankan.

Pengerusi Persatuan Nelayan Laut Dalam Pahang Md Yusery Md Yusoff berkata golongan nelayan terutamanya nelayan bumiputera terkesan dengan kos pelaksanaan PLKS, sedangkan mereka kini terpaksa menampung pelbagai perbelanjaan dalam operasi menangkap ikan.

Antara kos terlibat ialah membaik pulih peralatan menangkap ikan seperti bot, pukat dan sistem sonar yang rosak, yang didakwa kosnya boleh mencecah ratusan ribu ringgit bagi sebuah bot, yang ditambah dengan dengan kos bayaran kepada ejen yang membawa masuk pekerja asing.

“Kami memerlukan antara 20 hingga 25 orang awak-awak bagi sebuah bot nelayan laut dalam dan jika PLKS terus dilaksanakan ia bermaksud kami perlu membayar lebih RM1,000 bagi setiap awak-awak warga asing ini.

“Ini tidak termasuk kos kuarantin di hotel berjumlah RM1,400 selama tujuh hari bagi setiap pekerja warga asing terbabit dan ia lebih mahal jika pekerja dibawa masuk menggunakan laluan udara,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Md Yusery mendakwa jika PLKS tetap dilaksanakan, ramai pengusaha bot nelayan laut dalam persendirian termasuk 45 orang di Pahang, Terengganu dan Johor akan gulung tikar kerana tidak mampu untuk memulakan operasi.

Seorang pengusaha Che Ghazaib Che Man, 58, berkata pengusaha bot nelayan laut dalam persendirian adalah berbeza dengan syarikat bot nelayan laut dalam daripada aspek modal dan bilangan bot dimiliki, menyebabkan mereka sukar untuk membayar PLKS ditetapkan kerajaan.

“Kami tidak seperti sektor perladangan atau pembangunan kerana mereka merupakan sektor gaji sedangkan bidang perikanan bergantung sepenuhnya kepada hasil tangkapan ikan untuk mendapatkan pendapatan. Jika tiada tangkapan bererti tiada pendapatan,” katanya.

Seorang lagi pengusaha Tengku Adnan Tengku Husin, 59, berkata kos PLKS amat membebankan buat masa ini, kerana pendapatan mereka juga terjejas akibat pandemik COVID-19 sedangkan pinjaman bank bagi peralatan menangkap ikan, rumah dan kereta perlu dibayar.

Sehubungan itu, Tengku Adnan berkata penangguhan selama setahun itu diharapkan dapat memberi ruang kepada mereka untuk memulihkan kewangan sendiri terlebih dahulu, sebelum keuntungan daripada tangkapan hasil laut itu dapat digunakan untuk membayar kos PLKS.

Pada 19 Jan lepas, media melaporkan bahawa tindakan penguatkuasaan serta-merta akan diambil terhadap warga asing yang bekerja di vesel penangkapan ikan tempatan yang masih gagal memohon PLKS selepas tempoh moratorium diberikan tamat pada 31 Dis 2021.

Kadar bayaran PLKS bagi subsektor perikanan atau nelayan adalah berjumlah RM505 dan tambahan RM500 akan dikenakan untuk setiap permohonan baharu bagi tujuan bayaran pertukaran pas.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

395
Previous post Telur ayam: Kekurangan bekalan dijangka selesai dalam masa terdekat
Next post 34 kesan tikaman di badan isteri dibunuh suami