34 kesan tikaman di badan isteri dibunuh suami

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

GEORGE TOWN, 5 Feb – Bedah siasat ke atas wanita ditemukan mati dipercayai dibunuh suaminya, sebelum lelaki itu terjun dari tingkat 12 rumah mereka di Paya Terubong, di sini semalam mendapati terdapat sebanyak 34 kesan tikaman di badan mangsa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut  Supt V.Saravanan berkata bedah siasat yang dijalankan di Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini mendapati, wanita berusia 46 tahun tersebut mati disebabkan 34 tikaman di beberapa bahagian badannya.

“Berdasarkan laporan bedah siasat juga mendapati, wanita itu dipercayai meninggal dunia iaitu kira-kira tiga jam sebelum pihak polis menemui mayatnya berlumuran darah di atas katil, dalam sebuah bilik di rumah pasangan berkenaan.

“Terdahulu ibu wanita itu membuat laporan polis pada 12.30 tengah hari selepas rumah anak dan menantunya gagal dibuka dan pintu berkunci dari dalam, dia yang bimbang keselamatan mereka bertindak membuat laporan tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya berdasarkan siasatan, polis tidak menolak kemungkinan suami wanita bertindak menikam mangsa berikutan cemburu, dan pasangan tersebut dipercayai sering bergaduh sejak tiga bulan lepas.

 

Saravanan berkata semasa kejadian anak lelaki mangsa yang berusia 18 tahun tiada di rumah, kerana tidur di rumah neneknya yang tinggal di kawasan Air Itam, iaitu tidak jauh dari rumah pasangan tersebut.

Difahamkan lelaki tersebut mengunci pintu hadapan rumahnya dari dalam sebelum terjun dari ruang bahagian dapur, dan ketika itu isterinya dipercayai masih bernyawa.

Semalam media melaporkan seorang wanita ditemukan mati berlumuran darah dengan beberapa kesan tikaman, dipercayai ditikam suaminya sebelum lelaki itu terjun dari tingkat 12 sebuah flat di Paya Terubong.

Polis pada mulanya menerima laporan berhubung mayat seorang lelaki berusia 54 tahun ditemukan di kawasan flat itu pada 7.38 pagi semalam, dan siasatan mendapati mangsa terjun dari tingkat 12 flat tersebut.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

633
Kongsi :
Previous post Pengusaha bot nelayan laut dalam rayu tangguh pelaksanaan PLKS
Next post MARA pantau 55 MRSM susulan kes COVID di Maktab Tawau
Ubah saiz-+=