Pengunjung Zoo Melaka naik tiga kali ganda

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

AYER KEROH 2 Okt – Pengunjung Zoo Melaka meningkat tiga kali ganda kepada kira-kira 1,000 orang pada hari kedua hari ini selepas dibenarkan beroperasi bermula semalam sempena peralihan Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Shadan Othman berkata, bilangan itu bertambah berbanding semalam iaitu seramai 268 orang sepanjang operasi bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang.

Menurutnya, kenaikan berganda itu disebabkan cuti hujung minggu di mana sebahagian besar penduduk di negeri ini memilih destinasi santai ke Zoo Melaka bagi mengambil peluang meluang masa bersama keluarga.

“Alhamdulilah, sambutan daripada pengunjung amat luar biasa dan sejak dibuka semula Jumaat lalu, memang Zoo Melaka tidak henti-henti didatangi pengunjung,” katanya.

Menurut Shadan, pihaknya menjangkakan jumlah tersebut akan meningkat pada minggu-minggu berikutnya ekoran kebenaran rentas negeri tidak lama lagi.

Walaupun sambutan pengunjung luar biasa, ujar beliau, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di kalangan pengunjung tetap menjadi keutamaan pihaknya demi mengelak timbulnya sebarang isu.

“Setakat ini kita berpuas hati dengan pematuhan SOP yang ditunjukkan oleh setiap pengunjung.

“Bagaimanapun, kita akan tetap terus memantau pergerakan dan pematuhan pengunjung bagi memastikan SOP yang ditetapkan dipatuhi sewajarnya,” katanya.

S. Nagaraju

Sementara itu, tinjauan dalam kalangan orang ramai terhadap peralihan Melaka ke Fasa 3 bermula semalam disambut dengan rasa kesyukuran.

Menurut S. Nagaraju, 52, dia sudah lama tidak ke bandar Melaka sejak ‘terkurung’ di Jasin bermula tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya lega sangat apabila Melaka sudah beralih fasa, lebih-lebih lagi semua sekatan jalan raya sudah tiada, seolah-olah semua sudah bebas,” katanya

Bagi Kastamin Kamsib, 50, pembukaan sempadan daerah Jasin tanpa sekatan jalan raya membolehkan dia dan keluarga mengunjungi saudara mara yang lama tidak dilawati.

SALIM Ismail

“Memang seronok tetapi SOP perlu dipatuhi sebab perjuangan lawan COVID-19 belum tamat,” katanya.

Selain itu, Salim Ismail, 51, berkata, banyak urusannya tertangguh sejak sekatan jalan raya dijalankan di beberapa tempat dalam daerah Jasin.

“Lega sekarang sudah tiada sekatan jalan raya, bolehlah saya selesaikan urusan yang tertangguh sejak beberapa bulan lalu,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1044
Kongsi :
Previous post RT Cares pusat kumpul, edar kotak makanan
Next post Spanish Journalism and Media in the Malay Archipelago: The Press in early Philippines
Ubah saiz-+=