RT Cares pusat kumpul, edar kotak makanan

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

JASIN 2 Okt – Tiga Rukun Tetangga (RT) Cares ditubuhkan di seluruh negeri sebagai pusat operasi pengumpulan dan agihan kotak makanan barangan keperluan untuk edaran kepada golongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) negeri, Intan Suhana Yusoff berkata, ia terletak di Pusat Aktiviti Perpaduan (PAP) Alor Gajah, Balai Raya KRT Taman Paya Rumput Indah (Melaka Tengah) dan PAP Jasin.

Menurutnya, pengurusan pengumpulan dan pengagihan barangan makanan dan keperluan asas diselaraskan oleh Jawatankuasa Penyelaras Program yang ditubuhkan di kawasan masing-masing.

“Tidak hanya menyalurkan bantuan kotak makanan, di bawah program yang sama, kita juga melakukan program Komuniti Sejahtera iaitu Ziarah Perpaduan untuk meringkankan beban individu dan keluarga yang terkesan akibat pandemik COVID-19

“Selain beri bantuan, kita juga memastikan kelangsungan dan kesejahteraan masyarakat yang terkesan akibat pandemik dengan kerjasama serta sumbangan pelbagai agensi, NGO dan swasta melalui semangat kebersamaan berkonsepkan Kita Bersama,” katanya.

INTAN Suhana Yusoff

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian program RT CARES #KitaBersama: Rukun Tetangga Prihatin, Rakyat Makmur Terjamin yang disempurnakan oleh Exco Perpaduan, Datuk Wira Ar. Ismail Othman.

Sebanyak 111 kotak makanan mengandungi pelbagai barangan keperluan harian sudah diedarkan kepada 37 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negeri.

RT Cares merupakan program pemerkasaan tanggungjawab komuniti Rukun Tetangga yang berteraskan kepada konsep RT4LL iaitu RT untuk semua golongan masyarakat tanpa mengira perbezaan latar belakang melalui semangat kebersamaan (#KitaBersama) untuk memastikan kesejahteraan hidup komuniti.

Ia menetapkan objektif antaranya membantu golongan yang terjejas dengan pandemik COVID-19 melalui pemerkasaan KRT, memastikan kelangsungan dan kesejahteraan hidup komuniti semasa tempoh pandemik, mempercepatkan lagi roll-out Program Vaksinasi dan Membentuk masyarakat prihatin dan penyayang.

Selain itu, kata Intan Suhana, di bawah program Ziarah Perpaduan, pihaknya menyumbang bantuan kewangan, alat sokongan kesihatan, barangan asas harian, kelengkapan kembali ke sekolah dan barangan lain yang bersesuaian dengan kumpulan sasar yang dikenalpasti.

“Melalui Ziarah Perpaduan ini, selain beri bantuan, lawatan ini juga untuk melihat kelangsungan hidup penerima bantuan dan mengambil tindakan yang bersesuaian mengikut keperluan mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

962
Kongsi :
Previous post Tiga pulau di Melaka bakal diwarta Taman Laut Negara
Next post Pengunjung Zoo Melaka naik tiga kali ganda
Ubah saiz-+=